Isnin, 5 Julai 2010

BN, Pakatan Johor harapkan lampu hijau Putrajaya bina ‘jambatan bengkok’


KUALA LUMPUR— Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat masih meletakkan harapan agar kerajaan pusat akan memberi lampu hijau agar idea membina jambatan bengkok yang pernah diilhamkan hampir sedekad lalu dapat dihidupkan semula.

Sehubungan ini, Umno Johor meminta Putrajaya menimbang semula cadangan membina jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar minggu lalu.

Ketua Penerangan Umno Johor Datuk Samsol Bari Jamali berkata, Sultan Johor telah bertitah untuk melihat jambatan bagi menggantikan Tambak Johor, jadi kerajaan perlu menimbang semula cadangan tersebut.

“Sultan Johor bertitah untuk melihat Tambak Johor digantikan pasti ada sebabnya... kemungkinan untuk kepentingan rakyat.

“Jadi kerajaan perlu mengambil kira pandangan Sultan Johor dan mengkaji semula cadangan untuk membina jambatan itu,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau berkata, pembinaan jambatan bengkok secara tidak langsung dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Tambak Johor.

“Jambatan bengkok ini boleh dikatakan sebagai satu keperluan kepada rakyat di sini.

“Dengan adanya jambatan baru disini saya pasti kesesakan lalu lintas yang berlaku di Tambak Johor akan dapat diatasi,” katanya.

Dalam laporan The Malaysian Insider semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz (gambar) berkata, pentadbiran Najib tiada rancangan untuk menghidupkan semula jambatan bengkok yang pernah diilhamkan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menggantikan Tambak Johor.

Menurut Nazri, kerajaan akan kekal dengan keputusan yang dicapai antara Datuk Seri Najib Razak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika pentadbiran perdana menteri terdahulu itu.

“Keputusan pentadbiran kerajaan semasa kekal dan berpegang pada keputusan yang dibuat oleh pentadbiran sebelum ini, di bawah (kepimpinan) Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Jambatan bengkok tidak akan dibina. Tidak ada perbincangan untuk menghidupkan projek ini,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Tegas Nazri, kerajaan tidak boleh dengan sewenang-wenangnya memberi reaksi kepada laporan media, yang memetik individu-individu tertentu yang mendesak agar idea itu dihidupkan semula.

Dalam tulisan menerusi blognya Rabu lalu, Dr Mahathir mengulangi pendirian beliau agar Perdana Menteri menghidupkan semula pelan membina “jambatan bengkok” yang pernah dicadangkannya untuk menggantikan Tambak Johor yang menghubungkan Johor dan Singapura.

Sehubungan itu, bekas perdana menteri menyoal sebab Najib enggan meneruskan idea berkenaan memandangkan perkara tersebut juga telah disentuh oleh Sultan Johor minggu lalu.

“Dilaporkan bahawa Sultan Ibrahim Iskandar, Sultan Johor telah bertitah bahawa baginda suka untuk melihat jambatan menggantikan tambak Johor.

“Demikian juga dititah oleh Al-Marhum Sultan Iskandar bahawa baginda hendak tambak Johor diganti dengan jambatan.

“Saya tidak pernah dengar rakyat Johor kecuali seorang yang bersetuju kekalkan tambak dan kesesakan lalu lintas di Johor Baru kerananya. Demikian juga saya tidak dengar bantahan oleh rakyat Malaysia terhadap projek jambatan mengganti tambak Johor ini,” kata Dr Mahathir.

Dalam ulasan segera pada hari yang sama Najib berkata, kerajaan akan mengkaji semula rancangan asal pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

Senada dengan pemimpin Umno, Pengerusi PKR Johor Mohd Annuar Mohd Salleh berkata kerajaan perlu mengambil kira pandangan Sultan Johor dan tidak boleh menolaknya bulat-bulat.

“Sultan Johor ada bertitah untuk melihat jambatan bagi menggantikan Tambak Johor jadi mengapa kerajaan menolaknya bulat-bulat.

“Sepatutnya kerajaan perlu menimbang semula cadangan tersebut dan apabila Sultan Johor bertitah semua pihak perlu menghormatinya,” katanya.

Beliau berkata Sultan Johor mahu jambatan dibina bagi menggantikan Tambak Johor pasti ada sebabnya.

“PKR tidak akan bantah titah Sultan Johor kerana ia memberikan banyak kebaikan kepada rakyat.

“Justeru saya harap supaya kerajaan perlu mengkaji semula cadangan itu,” katanya.

Pesuruhjaya PAS Johor Dr Mahfodz Mohamad berkata pihaknya bersetuju dengan Sultan Johor supaya jambatan dibina bagi menggantikan Tambak Johor kerana ia dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang dialami selama ini.

“Di Tambak Johor sering berlaku kesesakan jadi adalah baik sekiranya satu lagi jambatan dibina untuk mengatasi masalah itu.

“Jadi kerajaan harus menimbangkan semula cadangan untuk membina jambatan tersebut,” katanya.

Beliau juga menyifatkan Nazri sebagai “pemimpin kecil” yang sepatutnya tidak mempunyai hak untuk membuat keputusan.

“Beliau (Nazri) bukan pemimpin tertinggi dalam Umno, beliau cuma menteri yang menjaga hal ehwal Parlimen... jadi apa hak beliau untuk buat keputusan?

“Sepatutnya yang membuat keputusan adalah Perdana Menteri bukan Nazri.

“Bagi pihak rakyat Johor, saya meminta supaya kerajaan menimbang semula cadangan untuk membina jambatan tersebut,” katanya.

Tiada ulasan: