Isnin, 26 Julai 2010

Blog aibkan mufti bukan kendalian Pas: Idris

SINAR HARIAN


SHAH ALAM – Ketua Penerangan Pas Pusat, Idris Ahmad meno:lak kemungkinan kewujudan blog yang menghina Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dengan gelaran mengaibkan seperti ‘haramsani’ dan ‘haram jadah’ ditulis dan dimiliki ahli parti itu.

Menurutnya, setakat ini hanya laman web Harakah Daily yang secara rasminya diiktiraf sebagai laman web Pas walaupun wujud laman blog lain yang menggambarkan pandangan parti tersebut.

“Kita tidak boleh nak kawal pemilikan blog dan tiada sebarang pantauan dilakukan terhadap ahli Pas yang memiliki blog sendiri kerana jumlah blog terlalu banyak di Internet dan kebanyakan identiti pemiliknya sukar dikenal pasti.

“Maka, saya bimbang sekiranya ada musuh Pas yang menggunakan taktik menyamar sebagai ahli parti dan kemudiannya menulis pelbagai cacian di dalam blog untuk mengundang kebencian orang ramai yang membacanya terhadap Pas,” katanya.

Beliau berkata, menghina orang lain dalam blog sepatutnya tidak berlaku dan Pas tidak pernah menggalakkannya kerana parti tersebut adalah parti yang berakhlak.

Terdahulu, Harussani mengatakan beliau tidak kisah apabila ada beberapa penulis laman blog yang menghinanya menggunakan gelaran mengaibkan seperti ‘haramsani’ dan ‘haram jadah’, sebaliknya beliau menasihatkan agar mereka kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Tiada ulasan: