Ahad, 11 Julai 2010

Tabung Haji usaha dapatkan penginapan baru di Makkah

BERNAMA


SUNGAI PETANI: Tabung Haji masih berusaha mendapatkan hotel baru yang berhampiran kawasan ibadat sebagai tempat penginapan buat jemaah haji pada tahun ini berikutan banyak perubahan berlaku di sekitar Makkah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata kerajaaan Arab Saudi masih melaksanakan pengubahsuaian dan menaik taraf banyak kawasan di Makkah.

"Banyak bangunan diruntuhkan untuk dibina baru dan antara yang terbabit ialah bangunan yang digunakan Tabung Haji sebagai hotel tempat penginapan jemaah Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Sungai Petani di Sungai Petani Inn di sini, hari ini.

Mengulas persiapan Tabung Haji menghadapi musim haji akan datang beliau berkata gerak kerja haji sedang giat diatur oleh pihak Tabung Haji untuk kemudahan jemaah.

"Saya berharap dan mendoakan agar segala persiapan berjalan lancar dan baik demi keselesaan jemaah kita menunaikan ibadat pada musim haji tahun ini," katanya. -

Tiada ulasan: