Jumaat, 23 Julai 2010

Saman cuai Nurin Jazlin untuk mediasi depan hakim

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Pihak-pihak yang terlibat dalam saman cuai yang dikemukakan oleh Jazimin Abdul Jalil, bapa kepada Nurin Jazlin yang dibunuh, terhadap polis dan kerajaan, akan memediasi kes mereka dengan kehadiran seorang hakim Mahkamah Tinggi pada 17 Ogos.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Wan Nursalena Wan Abdullah menetapkan tarikh itu dalam kamar ketika menemui peguam bagi semua pihak yang terlibat.

Peguam Jazimin, Siti Natasha Datuk Basheer Hassan berkata mahkamah hari ini juga meluluskan permohonan Jazimin untuk penghakiman engkar terhadap lans korporal polis Amran Arifin yang telah mengedar gambar-gambar autopsi Nurin Jazlin berusia lapan tahun oleh kerana Amran telah gagal memfail notis kehadiran selepas saman diserahkan kepadanya pada 18 Mei tahun ini.

Pada 29 Jan, Jazimin dibenarkan memasukkan nama Amran sebagai defendan kelima di samping Ketua Polis Negara, Ketua Polis Selangor, ketua polis Petaling Jaya dan kerajaan selepas kenyataan pembelaan mereka menunjukkan bahawa gambar-gambar itu diedar oleh Amran.

Jazimin, 35, seorang pekerja syarikat sekuriti, memulakan tindakan undang-undang terhadap defendan kerana kecuaian berhubung gambar-gambar autopsi anak perempuannya di Internet.

Beliau memohon ganti rugi dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah, dengan mendakwa bahawa gambar-gambar itu bukan untuk tatapan awam tetapi hanya untuk siasatan kes anaknya itu.

Nurin Jazlin hilang pada 20 Ogos, 2007, selepas dia pergi ke pasar malam dekat rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini.

Dua puloh tujuh hari kemudian, mayatnya ditemui dibungkus dalam beg gimnasium depan sebuah kedai di Jalan PJS 1/48 di Petaling Jaya dan laporan autopsi menunjukkan dia telah didera secara seksual.

Tiada ulasan: