Sabtu, 17 Julai 2010

BERJAYAKAH PELAN TRANSFORMASI TENOM?

Oleh: YEAP SING JEN (sabahkini)

KESERIUSAN untuk mencapai matlamat misi dan visi PKR Tenom menerusi satu model baru ‘Pelan Transformasi’ menjadi keutamaan Ambrose Mail Mathew (AMM) malah ia suatu perkara yang amat penting bagi membolos dan menawan kerusi Parlimen Tenom dan dua lagi kerusi Adun pada PRU13 kelak.

Berikut adalah temubual di antara wartawan Sabahkini.net dengan beliau berhubung fokus dan matlamat perjuangannya sekiranya ditakdirkan menang di dalam pemilihan Ketua Cabang PKR Tenom yang dijangka akan berlangsung pada September ini.

SK: Bolehkah AMM terangkan serba sedikit tujuan ‘Pelan Tranformasi’ yang sedang diwar warkan setakat ini?

AMM: Terima kasih. Sebenarnya, banyak yang masih kabur tentang apa tujuan kertas model ini yang diberi nama ‘Pelan Tranformasi’, tetapi kepada mereka yang membaca dan mengamati isi kandungannya sudah tentu kertas model ini ibarat satu kertas resepi masakan bagi menyediakan makanan yang lebih lazat dan sedap yang bertujuan agar ia menggamit citarasa pelanggan dan selepas itu lebih ramai pelanggan yang akan datang untuk menikmati makanan tersebut.

Begitu juga kertas model ini. Kita telah melakukan beberapa penyelidikan selepas PRU12 di mana semua calon PKR yang bertanding dalam pilihanraya umum semuanya tewas termasuk kawasan Tenom, namun perolehan undi membayangkan seakan-akan ada penerimaan dan sambutan para pengundi tentang PKR.

Keputusan hasil pemantauan mendapati akar umbi (pengundi) banyak yang tidak jelas halatuju perjuangan PKR malah ada yang mengatakan kewujudan PKR sebagai faktor Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang mana PKR ini konon sebagai kenderaan untuk menyelamatkan pelbagai masalah DSAI dan inilah suatu perkara yang mendorong pengundi tidak berminat menyokong dan mengundi calon PKR.

Sebab itu, kita telah bersedia turun padang selepas ini untuk mendekati pengundi dan rakyat jelata untuk menyampaikan mesej yang lebih jelas bahawa tanggapan mereka selama ini terhadap halatuju perjuangan PKR adalah salah dan terpesong sama sekali. Sedangkan perjuangan PKR adalah sebagai sebuah parti alternatif untuk menggantikan parti pemerintah UMNO/BN; yang disifatkan lebih separuh rakyat Malaysia bahawa perjuangan UMNO/BN sekarang ini sudah jauh menyimpang daripada landasan asal perjuangannya.

Kewujudan PKR adalah sebagai kenderaan baru untuk memulihkan keadaan kemudaratan Negara kita terutamanya ekonomi yang telah merudum jatuh ke paras negatif, pengangguran dan kemiskinan kian bertambah sementara pemborosan dan rasuah terus menjadi-jadi.

SK: Adakah AMM yakin bahawa isu salah sangka pengundi terhadap PKR akan berubah selepas penjelas menerusi kertas model ini?

AMM: Saya pasti perubahan minda akan berlaku jika benarlah hanya isu seperti itu yang menjadi perkara pokok membuatkan pengundi tidak berminat mengundi PKR. Tetapi pemimpin PKR baik di peringkat Cabang mahupun di peringkat Ranting, mereka terus berusaha mendekati pengundi atau membina satu ikatan rapat dengan mereka suapaya usaha menanam kefahaman ideologi PKR tidak berakhir setakat di situ. Mereka harus terus merapatkan diri mereka kepada golongan sasaran.

SK: Mungkinkah juga faktor calon yang diketengahkan oleh PKR kurang memikat pengundi maksudnya kredibiliti calon itu kurang meyakinkan?

AMM: Itu juga salah satu faktor yang turut melemahkan kekuatan PKR pada PRU12 dimana ada di antara kawasan pada ketika itu sudah siap sedia menonjolkan salah seorang calon yang berbakat dan berpotensi untuk memenangi pilihanraya berdasarkan suara akar umbi tetapi di saat-saat akhir pihak pusat pula bertindak menukarkan calon tersebut kepada calon yang kurang popular di peringkat akar umbi dan inilah satu masalah besar yang tidak sepatutnya berlaku dan berharap pada PRU13 masalah seperti ini tidak berulang lagi.

SK: Apakah PKR Tenom akan menonjolkan calon muka baru di dalam PRU13 dan bagaimana strategi yang sudah diatur setakat ini?

AMM: Setakat ini kita tidak mahu membicarakan soal tersebut tetapi kena tunggulah selepas pemilihan pada September ini dan kalau kita berjaya menerajui kepimpinan Cabang kita akan lakukan di mana yang terbaik. Bagaimanapun, mengikut pemantauan sebelum ini, rakyat/pengundi memang mahukan calon itu dari golongan muda, berintergriti, berpendidikan tinggi dan berpengalaman dalam bidang pengurusan serta bakal calon itu hendaklah komited dengan perjuangan PKR. Maksudnya ia hendaklah bermula dari awal bukan di saat-saat akhir baru turun padang.

SK: Ada yang kurang senang apabila ada penyertaan golongan graduan atau cendikiawan dalam kumpulan sdra sejak akhir akhir ini dan apakah sdra harus menolaknya kerana khuatir akan menjejaskan sokongan golongan biasa?

AMM: Ya! Saya ada juga terbaca di dalam forum Facebook berhubung perkara ini tetapi mungkin ia berlaku satu salah faham sedikit tetapi ia perlu juga dijelaskan supaya pihak lain tidak akan terpengaruh dengan isu tersebut. Sebenarnya, PKR mempunyai dasar pintu terbuka dalam menerima penyertaan untuk menjadi ahli dari mana-mana golongan sama ada golongan cendikiawan atau golongan biasa tetapi apa yang penting bahawa penyertaan mereka hendaklah ikhlas, jujur dan tidak bersyarat tetapi menerima ideologi perjuangan PKR.

Bagi kumpulan saya, saya menerima mereka ini (Garduan atau biasa) secara terbuka dan menyifatkan mereka ini mempunyai taraf yang sama tetapi selepas ini mereka juga mempunyai peranan masing-masing dalam memantapkan parti.

Jadi, kita tak boleh kata dasar perjuangan kita untuk graduan sahaja tetapi kita juga tidak boleh menyisihkan mereka kerana golongan ini mempunyai peranan yang lebih penting dalam menerajui saf kepimpinan cabang supaya ia lebih mantap. Begitu juga bagi golongan biasa di mana mereka juga mempunyai peranan yang tidak kurang pentingnya.

SK: Nampak gayanya AMM sudah lebih bersedia untuk meminta dipilih oleh para perwakilan pada pemilihan nanti tetapi bagaimanakah perasaan anda jika ditakdirkan tewas dalam pemilihan itu apakah anda terus berjuang dalam PKR?

AMM: Kalah atau menang memang adat pertandingan tetapi bagi saya ia merupakan satu pertandingan yang sihat dalam satu kekeluargaan; maka tidak timbullah kecil hati dan terus meninggalkan perjuangan dalam PKR. Kita mesti mampu menjangka kesemua yang bakal berlaku dalam sesuatu pertandingan di mana pendirian merupakan asas penting bagi seseorang pemimpin.

SK: Apakah pesanan anda kepada para perwakilan semasa menghadapi pemilihan kelak?

AMM: Saya percaya semua perwakilan telah termaklum tanggung jawab masing- masing di mana mereka hadir sebagai perwakilan untuk memilih bakal Ketua Cabang yang berwibawa, berketerampilan yang mampu membuat perubahan kepimpinan Cabang demi masa depan PKR di sini. Bagi saya, terpulanglah kepada para perwakilan untuk menentukannya. Jika mereka mahu melihat perjuangan PKR sampai ke kemuncak yang dikehendaki demi masa depan generasi kita, maka mereka sudah tentu memilih saya dan saf kepimpinan saya.

SK: Terima kasih dan semoga berjaya.

AMM: Terima kasih kembali kerana sudi menemubual saya.


Tiada ulasan: