Rabu, 28 Julai 2010

Beri rasuah kesalahan serius - SPRM

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan dan persepsi segelintir masyarakat bahawa pihaknya hanya mengambil tindakan terhadap penerima rasuah sahaja.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Zakaria Jaafar berkata, perbuatan memberi suapan rasuah juga adalah kesalahan yang serius dan pihak yang melakukannya akan tetap dikenakan hukuman.

“Ramai yang tidak mengetahui bahawa perbuatan memberi rasuah itu adalah kesalahan jenayah kerana kebiasaannya pendakwaan kes rasuah yang dipaparkan media lebih banyak tertumpu kepada individu yang menerima rasuah.

“Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 jelas memperuntukkan perbuatan memberi atau menawarkan rasuah adalah suatu kesalahan yang sama berat dengan menerima rasuah dan hukuman yang diberikan juga sama,” katanya pada majlis pelancaran Kempen Perangi Rasuah Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), semalam.

Upacara perasmian disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Fuad Ismail, Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusof dan Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Yusoff Akope.

Menurutnya, kes-kes rasuah melibatkan penjawat awam menunjukkan penurunan dalam tempoh tiga tahun sebelum ini iaitu daripada 51 peratus pada 2007 kepada 39 peratus pada 2009.

“Perkara ini memperlihatkan tahap kesedaran penjawat awam terhadap kesalahan rasuah semakin meningkat dan mereka sudah berani tampil melaporkan tawaran rasuah sehingga membawa kepada tangkapan pemberi rasuah," katanya.

Tiada ulasan: