Rabu, 21 Julai 2010

Benjy Tarik Rayuan Habeas Corpus

PUTRAJAYA: Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Benjy menarik semula rayuan habeas corpusnya yang dijadualkan didengar di Mahkamah Persekutuan di sini, pada Rabu.

Hasrat Benjy itu dimaklumkan menerusi peguamnya, Amer Hamzah Arshad sebaik sahaja kes dipanggil di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.

Beliau bersidang bersama Hakim Datuk Abdull Hamid Embong dan Hakim Tan Sri James Foong.

Pada prosiding itu, Peguam Kanan Persekutuan, Najib Zakaria dan Amir Nasruddin mewakili pihak responden yang dinamakan dalam permohonan tersebut.

Semasa ditemui, Amer Hamzah memberitahu, arahan untuk menarik semula kes diterima daripada Benjy, tetapi enggan mengulas lanjut mengenai alasan penarikan mahupun tarikh arahan itu diberikan.

Pelakon veteran, Azean Irdawaty yang sering mengikuti prosiding mahkamah melibatkan anak lelaki tunggalnya itu juga tidak kelihatan di mahkamah sepanjang prosiding berlangsung.

Pada 5 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dekat sini, menolak permohonan habeas corpus Benjy, 32, agar dibebaskan daripada dikenakan tahanan mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas).

Permohonan itu difailkan pada 8 April lalu, dengan menamakan Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan sebagai responden, dan turut memohon perintah dia tidak akan ditangkap semula selepas pembebasannya.

Bagaimanapun, sehari sebelum Mahkamah Tinggi mengumumkan keputusannya, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop mengeluarkan perintah agar Benjy ditahan selama dua tahun di Pusat Pemulihan Akhlak Muar, Johor.

Pada 25 Mac, Benjy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret terhadap tuduhan memiliki 0.24gm methamphetamine di rumah beralamat A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B, off Jalan Segambut, di sini pada pukul 4 petang 11 Mac.

Dia dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000 oleh seorang penjamin, tetapi selepas Azean membayar wang ikat jamin itu, Benjy ditangkap semula kerana didakwa terlibat dengan pengedaran dadah mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas).

Kes Benjy dijadualkan akan dibicarakan selama tiga hari bermula 18 Ogos ini.

Tiada ulasan: