Khamis, 8 Julai 2010

Bantuan Kewangan Jawi Untuk Masjid, Surau Di WP - Jamil Khir

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyediakan bantuan kewangan kira-kira RM400,000 untuk disalurkan kepada semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak pentadbiran masjid dan surau tidak lagi memberi alasan tidak mendapat peruntukan Jawi untuk melakukan pelbagai aktiviti keagamaan bertujuan mengimarahkan masjid.

"Selain menganjurkan aktiviti keagamaan, pihak pentadbiran masjid dan surau juga perlu memastikan bilangan jemaah yang datang tidak begitu sedikit, memastikan segala kemudahan seperti paip air berfungsi dengan baik dan pastikan permaidani atau lantai sentiasa berada dalam keadaan bersih," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menghadiri program Bicara Pemimpin bersama Rakyat dan penyerahan cek berjumlah RM4,500 untuk setiap masjid dan surau di Zon 5 kawasan di bawah pentadbiran Jawi, di Masjid Al-Muhsinin, Taman Danau Desa, Jalan Kelang Lama di sini, pada Rabu.

Turut hadir ialah Pengarah Jawi Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Umno Bahagian Seputeh Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff.

Beliau berkata selain itu, Jawi juga menyediakan peruntukan khas untuk semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan untuk program sepanjang bulan Ramadan ini.

Tiada ulasan: