Khamis, 8 Julai 2010

Bantah ETS, 300 Pekerja KTMB Berpiket

TV SELANGOR


Kira-kira 300 ahli Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) berpiket depan ibu pejabat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di ibu negara berikutan tindakan syarikat itu menubuhkan sebuah anak syarikat sebagai pengendali perkhidmatan tren elektrik (ETS).

Kumpulan pekerja terbabit melaungkan desakan supaya Presiden KTMB, Dr Aminuddin Adnan meletak jawatan.

Presiden RUM, Abdul Razak Md Hasan memberi tempoh 30 hari kepada Dr Aminuddin untuk meletak jawatan.

Jika Dr Aminuddin enggan berbuat demikian, Abdul Razak berharap Kementerian Kewangan akan menamatkan kontrak presiden KTMB itu.

"Beliau tidak layak, tidak mempunyai kredibiliti malah hubungan dengan kesatuan sudah terputus terus. Malah kami menekankan, kami telah menutup pintu untuk berbincang dengan Presiden KTMB.

"Kami mengharapkan ETS ini dibatalkan, dimasukkan ke dalam KTMB balik dan diuruskan oleh KTMB. Jangan bazirkan duit rakyat. Bukan wang presiden KTM Berhad," kata Abdul Razak Md Hasan, Presiden RUM.

Ahli kesatuan itu berkumpul di stesen komuter Kuala Lumpur pada jam 5 petang sebelum berarak mengikut laluan bawah tanah dan berkumpul semula di hadapan ibu pejabat KTMB di Jalan Hishamuddin.

Mereka berbaris di sepanjang jalan di hadapan ibu pejabat KTMB sambil melaungkan slogan mengkritik keputusan Dr Aminuddin menganaksyarikatkan ETS.

Turut menyertai perhimpunan ialah Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud dan ahli parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid.

Syed Syahir berharap menteri berkaitan campur tangan bagi memastikan majikan mendengar rintihan dan suara pekerja.

"Pada pandangan saya, adalah penting pihak pengurusan memberikan peluang wakil pekerja untuk memberikan pendapat mereka. Tentulah kadang-kadang ada pendapat positif. Bagi pekerja dia takut kalau ada satu hal menjejaskan kepentingan mereka.

"Ada company, buat satu company lagi, adakah dia dapat kerja lagi," kata Syed Syahir Syed Mahmud, Presiden MTUC yang meminta menteri mengadakan dialog mencari satu jalan penyelesaian," kata Syed Syahir Syed Mahmud, Presiden MTUC.

Dr. Aminuddin dan pegawai eksekutif KTMB lain bagaimanapun tidak kelihatan, malah pintu depan ibu pejabat KTMB ditutup dan dikawal oleh pengawal keselamatan.

Tiada ulasan: