Jumaat, 2 Julai 2010

Bala masih harap SPRM ubah fikiran, muncul 5 Julai



KUALA LUMPUR — P Balasubramaniam masih berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengkaji semula keputusannya yang membatalkan rancangan untuk menemui detektif persendirian itu di London bagi mendapatkan keterangan terbaru berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Walaupun SPRM telah mengubah pendirian atas nasihat Jabatan Peguam Negara, peguam Balasubramaniam Americk Sidhu berkata, pihaknya masih bersedia untuk menemui pegawai-pegawai suruhanjaya itu secara bersemuka minggu depan.

“Kami, bagaimanapun berhasrat untuk menemui (pegawai SPRM) di tempat yang telah dijanjikan dan pada masa yang dijanjikan, dan kami akan menunggu kehadiran pegawai-pegawai anda mengikut pelan asal.

“Anda boleh mempertimbangkan semula pendirian anda dan datang pada hari berkenaan.

“Kami sentiasa bersedia untuk memanjangkan kerjasama penuh kami kepada anda,” kata beliau dalam emel yang dihantar kepada pegawai penyiasat Penguasa Kanan Abdul Rahman Bachok hari ini.

Americk berkata, beliau berharap Abdul Rahman akan memanjangkan kandungan emel itu kepada pegawai-pegawai kanan untuk pertimbangan mereka.

Dalam emel itu Americk sekali lagi melahirkan kekecewaan dengan keputusan SPRM semalam.

Americk melahirkan kecewaan mereka dalam respons malam tadi.

Sementara itu, SPRM menerusi emel Abdul Rahman memaklumkan keputusan yang diumumkan semalam.

“Kami berminat untuk mengemukakan beberapa soalan menerusi pejabat bagi pelanggan anda jawab dalam bentuk kenyataan bersumpah ataupun afidavit,” katanya.

Petang semalam, SPRM memutuskan tidak akan menghantar pegawainya ke London bagi mengambil

keterangan Balasubramaniam berhubung kes pembunuhan Altantuya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Mohd Shukri Abdull berkata sebaliknya Balasubramaniam akan diminta menjawab soalan yang akan dikemuka menerusi peguamnya dalam bentuk akuan bersumpah atau afidavit.

“Kami telah merujuk kepada Pejabat Peguam Negara bagi mendapatkan pandangan berhubung implikasi undang-undang terhadap proses merakamkan percakapan saksi di luar negara dan kami dinasihatkan agar tidak meneruskan pendekatan itu,” katanya.

Shukri berkata tindakan mengambil keterangan secara

akuan bersumpah atau afidavit itu diperuntukkan di bawah Seksyen 30(1)(c) Akta SPRM 2010.

Katanya, SPRM akan mengemukakan soalan kepada penyiasat persendirian itu melalui peguamnya bersama surat iringan menyatakan keputusan yang telah diambil.

Proses merakamkan percakapan penyiasat persendirian itu dijadual dari 5 hingga 7 Julai ini di Hotel Holiday Villa, London.

Pada Mei lepas SPRM menyatakan kesediaan mengambil keterangan penyiasat persendirian selepas dia bersetuju berbuat demikian.

Sebelum ini usaha SPRM untuk mengambil keterangan Balasubramaniam menemui jalan buntu kerana tidak mengetahui lokasi penyiasat persendirian itu yang menghilangkan diri bersama keluarga pada Julai 2008.

Balasubramaniam sebelum itu mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan dua kenyataan bersumpah yang bertentangan berhubung kes pembunuhan Altantuya.

Tiada ulasan: