Rabu, 14 Julai 2010

Bahas kes pukul tahanan dalam lokap di Parlimen

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR: Isu N. Tarmendran mengaku dibelasah di Penjara Sungai Buluh sejak enam bulan lalu ketika membantu siasatan kes kehilangan dua enjin jet pejuang wajar diperbahas di Dewan Rakyat.

Demikian penegasan Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam seperti yang diusulkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pagi tadi supaya menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjawab di Dewan Rakyat.

Menggunakan Peraturan Mesyuarat 18(1), beliau berkata, isu tahanan dibelasah dalam tahanan mesti dianggap sebagai sesuatu yang berkepentingan ramai serta perlu disegerakan.

Sekiranya insiden yang menimpa Tharmendran itu berpanjangan, beliau bimbang peristiwa mendiang A. Kugan dalam lokap berulang.

"Menteri (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) dan Ketua Polis Negara (Tan Sri Musa Hassan) tidak mengambil berat langsung mengenai isu penyeksaan orang tahan yang berlaku seperti A. Kugan," ujar beliau seperti dipetik dari teks usul.

"Beliau hanya membantu siasatan dalam kes enjin jet pejuang (mengapa) diperas ugut dibunuh dan dikaitkan dengan Unit Tindakan Khas (UTK) dan pegawai-pegawai KDN."

Bagaimanapun, beliau menyuarakan rasa yakin bahawa Pandikan Amin akan mengetepikan usul yang membabitkan kepentingan awam tersebut.

Ini kerana, beliau berkata, Pandikar Amin mungkin akan berkata bahawa Dewan Rakyat tidak wajar berbincang sesuatu yang sedang dibicarakan dalam mahkamah.

"Kes ini masih lagi di mahkamah, dia mesti tolak," beliau menambah.

Tiada ulasan: