Selasa, 20 Julai 2010

Bagaimana kalau tiga media PR disatukan

Li Fook Gao

MINDA NAIB PRESIDEN PAS – Temubual dengan tiga Naib Presiden PAS iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (TITM), Datuk Mahfuz Omar (MO) dan Salahudin Ayub (SA).

Soalan 1:

Apakah langkah yang berkesan bagi PAS untuk menghadapi media arus perdana?

TITM: Rakyat bermaklumat sangat penting bagi menarik sokongan kepada Pakatan Rakyat. Barisan Nasional akan menggunakan pelbagai cara bagi memastikan maklumat tidak sampai kepada pengundi. PAS juga mengecam tindakan kerajaan menggantung penerbitan dua organ suara rasmi PKR dan DAP.

Bagi menghadapi media arus perdana yang tidak putus-putus menabur fitnah dan menyerang negeri PR, saya berpendapat media alternatif seperti blog, Facebook, Twitter dan laman web milik pendokong PR dapat mengubah pendekatan dengan mendedahkan keburukan dan kepincangan kerajaan yang dipimpin oleh BN.

Kita perlu bongkar kelemahan mereka dan strategi menyerang perlu dilakukan. Kita juga perlu buat perbandingan pencapaian yang kita perolehi di negeri PR berbanding negeri BN.

Serangan peribadi dengan membongkar istana pimpinan UMNO-BN, kemewahan hidup, kegilaan pasangan masing-masing dan budaya ego perlu diketahui oleh rakyat.

SA: Kita mesti bijak untuk membaca minda mereka supaya kita tidak terperangkap dengan agenda mereka, dan yang penting ialah apabila kita di-interview, kita mesti memberikan jawapan kita yang penuh dengan strategi dan boleh untuk kita menjawab persoalan mereka dengan tepat tanpa boleh dimanipulasi.

Saya rasa kita tidak boleh mengelak dan mengasingkan diri atau tidak memberikan kerjasama kepada media arus perdana tetapi kita mesti pandai memposisikan diri kita supaya kita dalam masa yang sama boleh memperjelaskan perjuangan kita tapi dengan bersikap lebih berhati-hati.

Dengan media baru, kita mesti memberikan maklumat yang secukupnya kepada mereka, dan berinteraksi secara positif dengan mereka dan mereka seboleh-bolehnya menjadi sahabat kepada kita.

Saya mengakui bahawa dunia Facebook hari ini menjadi begitu penting sekali, walaupun saya hari ini tidak ada Facebook sendiri. Itu memang kelemahan saya, akan tetapi saya mengakui bahawa dunia Facebook ini, kalau PAS dan kepimpinannya bijak menggunakannya sebagai saluran media baru, ia menjadi alat yang sangat penting bagi PAS.

Dalam keadaan tertentu – dalam perkara-perkara atau dasar-dasar umum atau isu-isu yang berkait kepada satu benda yang umum melibatkan ketiga-tiga parti PR, saya bersetuju bahawa mengadakan satu akhbar bersama Pakatan hasil gabungan tiga parti organ Harakah, Suara Keadilan dan Roket. Akan tetapi, mekanismenya agak sukar kerana ia perlukan permit yang baru, keperluan kewangan dan tenaga kerja.

Namun, bagi akhbar parti secara bersendirian pula, saya rasa masih perlu dan relevan kerana rakyat sudah boleh terima bahawa Harakah, Suara KeADILan dan Roket mempunyai kewibawaannya tersendiri.

MO: Langkah yang perlu dilakukan PAS adalah mempertingkatkan kempen pembacaan media alternatif di kalangan rakyat. Masih ramai rakyat yang tidak mengetahui kewujudan atau di mana boleh mendapatkan akhbar alternatif.

Di samping itu, PAS perlu memperluaskan lagi kesedaran penggunaan TV internet serta mempermodenkannya. Pakar-pakar IT PAS perlu lebih agresif untuk membangunkan media internet termasuk pembanggunan media baru blog, Facebook dan Twitter untuk distrategikan secara lebih terancang.

Pasukan khas perlu diwujudkan bagi menguasai media arus perdana melalui tulisan-tulisan rencana dan surat pembaca dalam media cetak. Kita juga boleh memanfaatkan TV arus perdana melalui program-program yang memberi peluang penonton untuk buat panggilan dengan memberikan pendapat dengan membentuk kumpulan pemanggil untuk rancangan TV.

Inilah yang dinamakan monkey ranching benda yang elok bagi mereka, tapi kita rosakkannya dengan strategi yang bijaksana. Sambil itu, PAS mesti memperbaiki dan memperbahrui media traditional iaitu ceramah dialog dan forum yang merupakan medium yang sangat berkesan selama ini.

Soalan 2:

Adakah gaji ADUN dan MP cukup untuk menjaga satu kawasan DUN dan Parlimen? Berapakah gaji sebenarnya bagi seorang ADUN dan MP? Jika tidak, bagaimana Naib Presiden sekalian mendapatkan dana untuk menjaga kawasan masing-masing?

SA: Sebenarnya elaun yang kami terima ini, kalau boleh saya ibaratkan sebagai minyak pelincir untuk enjin bergerak. Ia tidak boleh menjadikan kami kaya-raya, ia sekadar cukup untuk mengisi keperluan peribadi dan keluarga, dan kemudian yang selebihnya itu kami belanjakannya untuk rakyat.

Kalau tidak cukup, biasanya kami akan meminta bantuan daripada badan-badan ataupun individu-individu yang bersedia memberikan derma untuk tujuan-tujuan kebajikan khususnya berlakunya bencana-bencana seperti banjir dan kebakaran, setiap kali tiba di musim persekolahan, musim anak-anak buah kita masuk universiti dan yang paling pentingnya menjelang musim Qurban, bulan puasa dan juga Hari Raya.

Jadi, saya rasa inilah saat-saat yang kami sangat memerlukan badan-badan kebajikan dan individu-individu yang memang selalu menjadi dermawan untuk membantu kami.

Elaun kami, 15 peratus potongan telah diberikan kepada parti. Memang kadang-kala kita berhutang untuk memenuhi keperluan-keperluan di kawasan kita, tetapi tidaklah sampai satu jumlah yang mungkin membebankan kita.

Maknanya, bagi saya, biasanya jumlah hutang itu dapat dibayar dalam masa yang singkat. Tetapi, saya tidak tahulah pada rakan-rakan yang lain yang mungkin komitmen mereka di peringkat kawasannya yang lebih tinggi.

Secara terus-terang, saya merasakan tugas Adun di kawasan DUNnya lebih banyak mengeluarkan wang mereka sendiri.

Jadi, saya nak simpulkan bahawa kalau hanya bergantung pada elaun wakil rakyat, saya mengatakan ia tidak menjadikan kita ini kaya-raya, kerana ia hanya sekadar cukup untuk mengisi keperluan semasa dan kebajikan rakyat kita untuk rakyat.

MO: Elaun untuk MP memang tak cukup selagi pemikiran politik rakyat Malaysia menjadikan wakil rakyat sebagai pegawai kebajikan.

Elaun tetap MP hanyalah RM6 ribu, manalah mampu untuk membiayai permintaan rakyat yang terlalu manja. Terpaksalah kita mencari sumbangan dari kawan-kawan untuk menampung perbelanjaan.

Yang penting, wakil rakyat kena pandai dan rajin serta ringan mulut untuk mohon sumbangan dari pelbagai pihak.

Jangan kedekut dan berkira dengan rakyat. Prinsipnya wakil rakyat mesti telus dan berterus terang serta jujur dan ikhlas dengan rakyat tentang beban yang ditanggung oleh MP dan Adun.

Jawatan MP-ADUN bukan batu loncatan untuk bina kekayaan dan mengumpul harta.

TITM: Berdasarkan pengalaman lalu, gaji dan elaun Adun sekitar hampir RM5,000. Jumlah itu untuk menjaga seluruh DUN dan keperluan parti memang tidak mencukupi.

Sebagai Adun PAS, kita mewajibkan potongan 15 peratus untuk parti. Bagi menampung kekurangan tersebut, biasanya kita mencari sumber luar dari pelbagai derma dan bantuan.

Tetapi itu bukan mudah terutama bilamana pelbagai permintaan oleh orang perseorangan, maka tidak pelik apabila ada wakil rakyat setelah tewas masih menanggung hutang sewaktu jadi YB. Hanya Allah yang tahu.

Soalan 3:

Apakah yang ingin dinasihatkan Naib Presiden sekalian kepada Kementerian dan Menteri Dalam Negeri dalam isu permit ketiga-tiga akhbar Pakatan Rakyat?

MO: Saya nasihatkan Datuk Seri Hishamuddin supaya berfikir di luar kotak dan berfikiran luas kerana saya melihat cara pendekatan kerajaan hari ini masih dikongkong oleh pendekatan lama dan politik lama 50-an dan 60-an iaitu politik mengongkong pemikiran rakyat.

Sedangkan sekarang, dunia siber langit terbuka, jadi masyarakat lebih mementingkan terhadap soal maklumat. Seharusnya KDN hanya memberikan permit sekali sahaja untuk ia (akhbar) didaftarkan dengan kementerian dan tidak perlu diperbaharui setiap tahun.

Jika ada laporan-laporan yang tidak betul, mana-mana pihak boleh mengambil tindakan undang-undang mahkamah ke atas media akhbar tersebut. Ini sudah tentu akan menjadikan media akan mempunyai integriti dan kebertanggungjawaban yang tinggi kerana mereka akan melaporkan berita-berita berasaskan fakta maklumat yang betul, jika tidak mereka akan berhadapan dengan risiko untuk diseret ke mahkamah.

Akhirnya, akan lahirlah media yang mempunyai integriti dan ketelusan yang tinggi secara sendirinya kerana media itu sendiri akan mati jika ia disaman dan didenda mahkamah dan sebagainya - tak timbul soal permit ini sebagai satu kekangan terhadap media akhbar tersebut dan juga rakyat.

KDN tidak perlu menjadi hakim dalam soal akhbar. Hakim mahkamah yang menentukan jika media itu betul atau tidak dalam laporannya seperti dalam kes ‘Felda Bankrap’ laporan Suara Keadilan – jika Felda nak saman, biarlah mahkamah yang menentukan laporan itu betul ataupun tidak.

Akan tetapi sekarang KDN tidak menyambung permit Suara Keadilan bertolak daripada isu laporan yang kononnya Felda bankrap tak betul. Ini menunjukkan bahawa KDN sudah menjadi hakim dalam isu ini – ini tidak betul.

TITM: Nasihat saya kerajaan mesti bersikap lebih terbuka dalam dunia siber kini. Hentikan pembohongan kerana ia akan ditertawakan oleh rakyat yang dapat maklumat kedua dengan mudah.

Sikap tidak berubah media arus perdana hanya menimbulkan kejelikan di kalangan rakyat. Hentikan sikap bodoh sombong ini. Benarkan rakyat mendapat maklumat sebenar daripada sumber yang mereka yakini.

SA: Saya berharap beliau (Datuk Seri Hishamuddin Hussein) dapat mewakili suatu generasi era baru dalam urus tadbir negara di mana kita mesti lebih demokratik, memiliki minda untuk menjadikan negara kita ini lebih terbuka dan memiliki kebebasan-kebebasan media yang bertanggungjawab.

Saya juga bersetuju bahawa kita tidak boleh memberikan satu kebebasan sepenuhnya, tapi untuk menuju satu era yang lebih demokratik dan media yang bebas, kita sama-sama bertanggungjawab untuk melihat kita menganjak khususnya dalam isu kebebasan bersuara dan media.

Tiada ulasan: