Selasa, 13 Julai 2010

Antara hukuman mati dengan peluang kedua

Puspawati Rosman



Pada 10 Jun 2010 yang lepas, beberapa kumpulan aktivis hak asasi manusia dan perundang-undangan tempatan, antaranya Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam, Amnesty International dan Lawyers For Liberty (Peguam untuk Kebebasan) telah mengadakan sidang akhbar di Majlis Peguam.

Sidang akhbar tersebut bertujuan untuk mengiringi dan memberi sokongan kepada peguam hak asasi daripada negara Singapura, iaitu M. Ravi (gambar kiri) yang mewakili seorang warga negara Malaysia, Yong Vui Kong yang telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Rayuan Singapura.

Yong Vui Kong baru berusia 22 tahun. (Bagi yang masih belum tahu tentang kes ini, sila rujuk pada tulisan di MerdekaReview yang berjudul Kerajaan Malaysia dirayu untuk Selamatkan Yong Vui Kong).

Ketika pendengaran di Mahkamah Rayuan, saudara M. Ravi telah berhujah bahawa hukuman mati adalah tidak berperikemanusiaan dan melanggar perlembagaan. Artikel 9 (1) Perlembagaan Singapura memperuntukkan bahawa tiada seseorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang. Kes telah ditetapkan untuk keputusan pada 14 Mei 2010.

Walau bagaimanapun, beberapa hari sebelum Mahkamah Rayuan memberikan keputusannya, iaitu pada 9 Mei 2010, Menteri Undang-Undang Singapura K. Shanmugam telah membuat kenyataan awam yang telah disiarkan di dalam akhbar Straits Times. Katanya, sekiranya Yong Vui Kong dibebaskan daripada hukuman mati hanya kerana simpati dan kerana beliau seorang yang muda, ia akan membuka lebih banyak peluang kepada penjahat-penjahat lain supaya menggunakan orang muda untuk membuat kejahatan. Oleh itu, hukuman harus dilaksanakan.

Pada 14 Mei 2010, Mahkamah Rayuan Singapura telah menolak rayuan Yong Vui Kong.

Isunya hukuman mati!

Kenyataan media K. Shanmugam dan seterusnya keputusan rayuan yang dikeluarkan Mahkamah telah menjadi persoalan dan tanda-tanya yang besar di kalangan rakyat. Ini adalah kerana menurut undang-undang Singapura, seseorang yang dijatuhkan hukuman mati di Mahkamah di peringkat rayuan di Mahkamah, boleh mencuba cara terakhir iaitu dengan membuat rayuan pengampunan kepada Presiden, yang dinasihati oleh Kabinet. Akan tetapi, nampaknya Kabinet telahpun "menjatuhkan hukuman" terhadap Yong sebelum mendengar rayuan pengampunannya, malah, sebelum keputusan Mahkamah Rayuan dikeluarkan! Jadi, peluang apa yang masih tinggal untuk beliau?

Dalam pengamatan saya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Undang-Undang Singapura dan keputusan yang diberikan oleh Mahkamah Rayuan negara itu menunjukkan pendirian dan pendapat kerajaan Singapura bukan sahaja dalam isu pengedaran dadah, tetapi yang lebih penting lagi, perlaksanaan hukuman mati.

Hukuman mati kerana mengedar dadah telah lama diamalkan bukan sahaja di Singapura, tetapi juga di Malaysia, Thailand dan China. Alasannya kerana pengedaran dadah adalah sesuatu yang membahayakan bukan sahaja individu, tetapi juga masyarakat secara keseluruhan. Dalam apa jua keadaan pun, tanpa mengira latar belakang dan samada seseorang itu mempunyai potensi untuk berubah, seseorang yang didapati bersalah, boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Artikel 5(1) Perlembagaan Persekutuan negara kita adalah serupa dengan Artikel 9 (1) Perlembagaan Singapura. Tiada seseorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang. Maka, Singapura telah menggunakan undang-undang untuk menamatkan riwayat Yong (gambar kiri).

Di kalangan pengamal undang-undang di negara kita sendiri, isu hukuman mati sering dibincangkan. Beberapa artikel undang-undang telah diterbitkan yang mana kajian telah dijalankan secara terperinci oleh para pengamal undang-undang dan kehakiman tentang buruk dan baiknya hukuman mati ini. Antaranya ialah oleh Mah Weng Kwai di dalam artikelnya berjudul "Should the Death Penalty be Abolished?" terbitan Current Law Journal (CLJ) dan juga Abdul Malik bin Ishak di dalam artikelnya "Legal Collaboration in the ASEAN Region For a Drug Free World", yang juga diterbitkan oleh CLJ.

Kurangkan penyalahgunaan dadah?

Bagi yang menyokong hukuman mati kepada pengedar dadah, mereka beranggapan bahawa hukuman mati adalah satu-satunya cara terbaik untuk mencegah penyalahgunaan dadah. Benarkah? Saya bertanya demikian kerana sejak hukuman mati untuk pengedar dadah diperkenalkan di negara kita pada tahun 1975, mata kasar saya tidak nampak pun pengurangan penyalahgunaan dadah di negara ini. Malah, ia semakin menjadi-jadi sehinggakan pusat pemulihan dadah juga terpaksa ditambah.

Ketika saya menghadiri satu sesi perbincangan tentang pemulihan penagih dadah di Malaysia, kami dimaklumkan bahawa terdapat 29 pusat pemulihan di negara ini, yang mana satu pusat boleh memuatkan sehingga 500 orang. Daripada 29 pusat tersebut, satu pusat pemulihan ialah untuk wanita. Kini, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membina satu lagi pusat pemulihan dadah untuk wanita kerana angka yang sedang meningkat.

Kenapa ini berlaku? Ia adalah kerana yang dihukum, hanyalah ikan-ikan kecil yang bekerja untuk ikan-ikan besar. Akan tetapi, ikan-ikan besar tidak pula ditangkap atau dihukum mati, sebaliknya mereka masih dibiarkan berenang di lautan yang besar. Akibatnya, ikan-ikan kecillah yang akan menanggung segala perbuatan mereka, termasukkan menghadapi hukuman mati bagi pihak mereka. Kita sepatutnya menggunakan ikan-ikan kecil ini untuk menangkap orang yang bertanggungjawab supaya jenayah pengedaran dadah boleh dibanteras secara total, bukan sekadar menangkap dan menghukum sesiapa sahaja yang didapati mengedar, semata-mata untuk menunjukkan kepada dunia bahawa kita serius untuk membanteras gejala tersebut. Wajarkah perbuatan ini?

Saya menyatakan sedemikian bukanlah bermaksud saya tidak sedar dengan keseriusan kesalahan pengedaran dadah ini, tetapi pada pendapat saya, kita hendaklah lebih berhati-hati dalam menggunakan undang-undang untuk menjatuhkan hukuman bunuh. Malah, demi hak asasi dan kemanusian, hukuman patut tidak patut dilaksanakan langsung dalam apa jua keadaan, lebih-lebih lagi apabila tertuduh telah menyesal di atas perbuatannya dan mengharapkan diberi peluang kedua. Ini adalah kerana kerana ia melibatkan nyawa seseorang. Adakah patut kita menghukum seseorang sebegitu rupa secara kolektif, yakni menggunakan undang-undang terpakai dan sedia ada bagi kesalahan itu dan bukannya atas dasar kemanusiaan?

Dalam usia semuda Yong, beliau harus diberi peluang kedua. Sekiranya saya diberi peluang untuk memutarkan masa, macam-macam perkara yang saya mahu lakukan ketika berusia 22 tahun. Tapi, jika usia Yong adalah 50 tahun sekalipun, adakah kita tidak boleh memberikan peluang kedua kepadanya? Tidak kira berapakah usia dan latar belakang seseorang itu, nyawa adalah sesuatu yang berharga.

Sejak saya mendapat tahu mengenai kes Yong, saya telah melayari beberapa laman web dan telah mendapat tahu sedikit sebanyak tentang beliau dan keluarganya. Kisah hidupnya seperti kita pernah dengar sebelum ini, iaitu seorang remaja yang hidup dengan keluarganya, susah, dan akhirnya terjebak di dalam gejala tidak sihat.

Tapi, nampaknya undang-undang yang diamalkan sekarang tidak mengambil kira semua itu, yang salah tetap salah, tetap akan dihukum walaupun sehingga ke tali gantung.

Sudah tiba masanya kita merenung balik hukuman mati. Kita harus mengkaji semula dan mempertimbangkan alasan-alasan yang diberikan oleh negara-negara lain yang telah memansuhkan hukuman bunuh di negara mereka termasuklah bagi kesalahan mengedar dadah.

Sementara kita mencapai ke tahap itu, Yong perlu diselamatkan. Jika negara Singapura tidak berupaya untuk berbuat demikian, kerajaan kita boleh membantu beliau. Kira-kira tiga tahun lalu, seorang wanita bernama Umi Azlim berusia 25 tahun telah dijatuhkan hukuman mati oleh kerajaan China kerana mengedar dadah. Walau bagaimanapun, hukumannya diringankan selepas campurtangan kerajaan Malaysia. Umi bernasib baik kerana pada waktu itu, orang ramai di Malaysia dan aktivis-aktivis kemanusiaan memberikan perhatian kepada kesnya, termasuklah badan-badan seperti kumpulan peguam syariah di Malaysia yang bersimpati dengan nasib beliau.

Bagaimana pula dengan Yong?

*Puspawati Rosman ialah seorang peguam, ahli Lawyers for Liberty (Peguam untuk Kebebasan) dan ahli sekretariat SUARAM (Suara Rakyat Malaysia)

Tiada ulasan: