Jumaat, 23 Julai 2010

Ajaran Ummu Jah didakwa sebarkan fahaman Al-Arqam

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Semua majlis agama Islam telah diarah memantau sebarang aktiviti yang mempunyai unsur-unsur ajaran ‘‘Ummu Jah’’ yang dipercayai menyebarkan fahaman kumpulan Al-Arqam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata penyebaran ajaran itu harus disekat pada peringkat awal agar tidak mempengaruhi masyarakat.

“Kita tak nak perkara seperti ajaran ini berlaku kerana ianya akan mengelirukan umat Islam,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Ihya’’ Ramadan kepada masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Beliau berkata tugas pemantauan itu turut dipertanggungjawabkan kepada golongan yang mengajar di masjid-masjid dan surau.

Semalam sebuah akhbar melaporkan usaha menyebarkan semula ajaran pengasas kumpulan Al-Arqam, Asaari Muhammad yang meninggal dunia pada 13 Mei lepas kini dipelopori oleh isteri keduanya Hatijah Aam yang lebih dikenali sebagai Ummu Jah.

Ummu Jah dipercayai giat melakukan penjenamaan semula imej kumpulan termasuk di peringkat antarabangsa dengan berselindung di sebalik sebuah syarikat bernama Global Ikhwan Sdn Bhd.

Menyentuh perkara berlainan, Jamil Khir berkata bagi menjana ekonomi masjid di Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan membina kiosk dan kedai cenderamata di sekitar masjid terpilih.

“Kadar pelancong yang datang ke Masjid Negara sahaja dianggarkan 4,000 sehari, dan saya fikir pembinaan kedai seumpama itu selain dapat menjana ekonomi masjid ianya juga akan turut dapat memberi kenangan kepada pelancong,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan MAIWP dan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar berjumlah RM2,688 juta kepada 69 buah masjid, 68 buah surau Jumaat dan 415 surau di seluruh Wilayah Persekutuan.

Tiada ulasan: