Khamis, 29 Julai 2010

Air: BN tidak bela penduduk miskin

Harakahdaily

SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) mengingatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) bahawa keputusan kerajaan terdahulu berkenaan perkhidmatan air tidak pernah menyebelahi penduduk miskin di Selangor.

Beliau menyatakan demikian ekoran pemimpin Umno BN yang sering mengkritik pemberian air percuma kerajaan negeri Pakatan Rakyat di negeri ini.

Ianya termasuklah polisi perbezaan tarif mengikut jenis meter yang telah dibenarkan ketika kerajaan BN memerintah sebelum ini.

"Saya ulang di sini bahawa Kerajaan Selangor telah melaksanakan pemberian air percuma kepada penghuni rumah kos rendah yang menggunakan meter pukal dengan pengenalan sistem kupon," katanya.

Beliau juga turut memberi jaminan program air percuma tersebut akan diperluaskan ke seluruh negeri itu dalam waktu terdekat ini.

Berikutan itu, Kerajaan Selangor meminta Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menyelaraskan tarif air bagi meter individu dan meter pukal untuk membolehkan pengguna di negeri ini menikmati pemberian air percuma bagi setiap 20 meter padu pertama setiap bulan dengan kadar yang sama.

Beliau berkata, perbezaan tarif air mengikut jenis meter tidak patut berlaku dan pihaknya akan mengadakan rudingan bersama pihak Syabas agar tarif perkhidmatan air diselaraskan untuk semua.

Ketika ini, Syabas mengenakan tarif yang berbeza mengikut jenis meter.

Bagi meter individu, 20 meter padu dikenakan RM11.40, RM16.00 untuk pengguna meter pukal bagi pangsapuri kos rendah dan RM27.00 bagi pangsapuri bukan kos rendah.

"Perbezaan tarif mengikut jenis meter ini diketahui ketika kerajaan negeri sedang memperluaskan pemberian air percuma 20 meter padu setiap bulan kepada penghuni rumah kos rendah yang menggunakan meter pukal.

"Jelas, pemberian air percuma oleh kerajaan negeri yang dilancarkan di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) bukan sahaja dapat menolong rakyat dari bebanan ekonomi tetapi juga telah dapat menolong menyeralaskan tarif dan caj perkhidmatan air," katanya

Tiada ulasan: