Khamis, 22 Julai 2010

Ahmad Masih Belum Jawab Keputusan Dialog Isu Felda

Oleh Faizal Ezzany

KUALA LUMPUR- Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata beliau masih menunggu maklum balas dari Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkenaan jemputan berdialog yang telah dicadangkan oleh Ahmad kepadanya 8 Julai lalu di parlimen.

Beliau telah pun menjawap surat jemputan dialog tersebut setelah menolak pelawaan Mazlan untuk mengadakan debat bagi membincangkan pelbagai isu yang berlaku di dalam pengurusan Felda.

"Susulan daripada cadangan debat yang saya kemukakan kepada Ahmad Maslan dan surat berkenaan itu telah saya hantarkan pada 8 Julai lalu tetapi pada waktu itu beliau tidak bersedia untuk berdebat tetapi mencadangkan untuk berdialog atas isu-isu Felda.

"Saya telah mengadakan perbincangan dibeberapa peringkat jawatankuasa di dalam Anak, dan kita bersetuju untuk berdialog tetapi dengan syarat ia dilakukan secara terbuka agar semua yang hadir dapat mengetahui apa sebenarnya berlaku.

"Kita cadangkan ia diadakan di ibu pejabat Felda di Jalan Semarak Kuala Lumpur pada 9 Ogos nanti, surat jawapan telah kita hantar dan juga faks ke pejabat Ahmad Maslan," jelas Mazlan pada sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Beliau menjelaskan keengganan Ahmad untuk berdebat mengambarkan ada sesuatu yang mereka cuba selindungi kerana sekiranya berdialog maka pendedahan kepincangan di dalam Felda dapat dielakkan.

"Saya sangat kesal dengan keengganan timbalan menteri untuk berdebat, apa yang menjadi tanda tanya adakah mereka cuba melindungi sesuatu.

Beliau sepatutnya mempunyai tanggungjawab untuk memperjelaskan segala isu yang telah ditimbulkan bukannya mengelak, menjawab secara profesional bukan hanya membuat penafian.

"Kita membuat pendedahan dengan merujuk kepada data serta bukti kenapa timbalan menteri tidak menjelaskan atau menafikan data serta bukti tersebut. Tujuan kita ingin berdebat adalah untuk menyelesaikan kemelut di dalam Felda bukannya untuk kepentingan politik, kita berjuang demi peneroka-peneroka yang telah lama berbakti untuk kemajuan Felda dan juga negara ini," kata Mazlan lagi.

Beliau berharap Ahmad akan menerima cadangannya untuk mengadakan dialog secara terbuka.

"Kita menerima cadangannya untuk berdialog dan harap cadangan kita berdialog secara terbuka akan diterima olehnya. Jangan cuba hendak membuat pelbagai alasan, kalau apa yang kita dedahkan tidak benar buktikan," tambahnya.

Mazlan juga berkata Anak telah mencetak risalah 'Felda Bankrap?' yang mengandungi pelbagai maklumat serta kepincangam pentadbiran Felda dan beliau akan mengedarkan risalah tersebut secara percuma di seluruh negara dengan tujuan agar rakyat serta peneroka tahu keadaan sebenar yang berlaku.

Tiada ulasan: