Khamis, 22 Julai 2010

Ahli majlis PBT dapat banyak pengalaman

Ismail Hashim

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) menegaskan 67 peratus ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dilantik semula bagi penggal 2010/2011 memperoleh banyak pengalaman dan pengetahuan sepanjang melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai ahli majlis.

Beliau juga yakin ahli majlis baru pertama kali dilantik, membuat kajian dan bersiap sedia memikul tanggungjawab sebenar, di samping berkeyakinan mengharungi pelbagai cabaran mendatang dalam usaha mereka membantu Kerajaan Negeri dan PBT untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Bercakap semasa merasmikan Persidangan Ahli Majlis PBT Penggal 2010-2011 di Dewan Jubli Perak di sini petang semalam, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Pakatan Rakyat amat menekankan keseimbangan keanggotaan dalam pemilihan dan pelantikan ahli-ahli majlis.

"Keseimbangan kaum dan jantina masih diambil kira bagi mewakili komponen-komponen pihak pertubuhan bukan kerajaan, aktivis masyarakat, golongan profesional, orang kurang upaya dan ahli-ahli politik tempatan di mana kriteria ini kita utamakan agar suara setiap kelompok masyarakat dapat didengari dan kebajikan serta kepedulian terhadap setiap komponen masyarakat dapat diberi perhatian.

"Kerajaan negeri bersetuju menetapkan tempoh pelantikan ahli-ahli majlis pada penggal ini selama satu tahun setengah, iaitu mulai 7 Julai 2010 sehingga 31 Disember 2011 di mana tujuan penetapan tempoh ini dibuat untuk memberi peluang kepada ahli-ahli majlis PBT memperkembangkan idea-idea baharu dan menyumbang tenaga secara berkesan.

"Bagaimanapun sistem giliran bagi pemilihan ahli majlis masih diguna pakai, penggantian ahli majlis, pelantikan semula atau pelanjutan memegang jawatan sebagai ahli majlis dibuat selepas kerajaan negeri menilai berdasarkan prestasi dan komitmen yang ditunjukkan setiap ahli majlis," tegasnya.

Pemilihan ahli majlis ini dibuat, ujarnya, berdasarkan peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang menekankan kelayakan daripada segi permastautinan, komitmen, keikhlasan, integriti dan kemampuan individu untuk berkhidmat kepada Pihak Berkuasa Tempatan melalui sumbangan kepada rakyat Negeri Selangor yang memerlukan bantuan daripada segi tenaga mahupun khidmat profesional.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat beranggapan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki oleh tiap-tiap ahli majlis berdasarkan penilaian keseluruhan prestasi ahli majlis yang lepas kerana masih terdapat kalangan mereka yang tidak mencapai tahap dikehendaki kerana terlalu banyak tanggungjawab lain perlu dilaksanakan.

"Kita kerap mendengar rungutan orang ramai terhadap mutu perkhidmatan PBT yang kurang memuaskan penduduk setempat. Mereka menyuarakan pihak PBT yang lambat bertindak terhadap aduan penduduk setempat seperti sampah yang tidak dipungut, kebocoran paip, kerosakan jalan, kebisingan penduduk tanpa izin dan kesibukan jalan awam yang dikuasai oleh lori-lori pencuri pasir.

"Harap maaf. Saya tidak bermaksud untuk meletakkan semua kelemahan di pundak ahli majlis semata-mata, sebaliknya kepada seluruh PBT. Di pihak kerajaan negeri, kita terpaksa mengambil sedikit masa untuk menyemak secara lebih mendalam akan latar belakang, kebolehan dan sumbangan calon-calon terlibat bagi memastikan mereka yang dilantik benar-benar layak dan dapat bekerjasama dengan rakan sejawat dalam PBT dan masyarakat.

Oleh sebab itu, semasa perlantikan ahli majlis penggal lalu, kerajaan negeri menetapkan setiap ahli majlis mempunyai kriteria 4C, iaitu capabality, capacity, character dan co-operation yang disemai dalam diri masing-masing agar dapat memainkan peranan serta tanggunggajawab secara tulus dan ikhlas.

Tiada ulasan: