Selasa, 27 Julai 2010

Ahli kimia: Kebakaran gereja disengajakan

BERNAMA


Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu kebakaran gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati disebabkan perbuatan yang disengajakan dengan menggunakan petrol.

Ahli
Kimia, Shaari Desa, 43, berkata ini terbukti dengan kesan petrol diperoleh dari bekas plastik yang dijumpai di dalam gereja berkenaan ketika membuat pemeriksaan pada 8 Januari lalu.

Katanya ketika sampai di tempat kejadian kira-kira jam 4.35 petang didapati kebakaran berlaku di tingkat bawah bangunan tiga tingkat tersebut dengan kebakaran kuat dikesan pada ruang berhadapan dengan pintu masuk utama.

"Pemeriksaan selanjutnya mendapati kesan-kesan tompokan kehitaman pada lantai di ruang tersebut yang konsisten dengan kesan disebabkan bahan penggalak kebakaran.

''Adjustable spanner''

"Berdasarkan analisis didapati terdapat kesan petrol pada bekas plastik, tiada sebarang hidrokarbon mudah terbakar dikesan pada masa kebakaran dan pada penutup botol (dijumpai di tempat kejadian). Didapati juga tiada sebarang kesan pecahan kaca atau benda asing lain yang penting pada ''adjustable spanner''," katanya.

''Adjustable spanner'' adalah salah satu barang kes yang didakwa digunakan untuk memecahkan cermin.

Dalam perbicaraan ini, Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim, 24; adiknya Raja Mohamad Idzham, 22; dan Azuwan Shah Ahmad, 23; didakwa bersama-sama beberapa orang yang masih bebas, melakukan khianat dengan membakar gereja itu di Jalan 4/4C, Desa Melawati jam 11.50 malam, 7 Januari lalu.

Kehadiran orang ramai ganggu siasatan

Ketiga-tiga tertuduh yang bekerja sebagai penghantar surat didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Sha

ari berkata berdasarkan kepada kerosakan kebakaran dan penemuan petrol pada serpihan kayu, beliau berpendapat kebakaran tersebut adalah disengajakan.

Ditanya peguam Datuk Haniff Hashim yang mewakili Raja Mohamad Faizal dan Raja Mohamad Idzham adakah kehadiran orang ramai di tempat kejadian mengganggu penyiasatannya, Shaari berkata: "Kehadiran orang ramai banyak mempengaruhi penyiasatan saya di tempat kejadian kerana mungkin banyak pencemaran pada bila-bila masa."

Bagaimanapun, katanya, keputusan penyiasatan kes kebakaran itu (perbuatan disengajakan) adalah berdasarkan fakta dan bahan bukti.

Perbicaraan di hadapan Hakim SM Komathy Suppiah disambung esok.


Tiada ulasan: