Khamis, 8 Julai 2010

Abdul Malik, Salmah pemenang Hari Peladang

Mohd Sabri Said


PULAU PINANG: Abdul Malik Abdullah dan Che Ma @ Salmah Hashim dianugerahkan pemenang pertama kategori lelaki dan wanita sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Pulau Pinang 2010 yang diadakan di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Permatang Pauh pagi tadi.

Mereka menerima sijil daripada Tun Dr Abdul Rahman Abbas dengan diiringi Ketua Menteri, Lim Guan Eng, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Dr Mansor Othman dan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Law Choo Kiang.

Semasa ditemui, Abdul Malik menjelaskan, beliau berjinak dalam bidang perternakan lembu dan kambing biri-biri di Permatang Tok Gelam, Butterworth setelah mendapat sokongan padu bapa saudaranya sejak 20 tahun lalu.

Selain daripada mengusahakan ternakan lembu dan biri-biri ia juga mengerjakan sawah serta menjalankan perniagaan katering.

"Semuanya hasil didikan bapa saudara yang telah lama menjalankan perniagaan ini. Dia adalah idola saya kerana tanpanya sukar bagi saya hendak maju sebegini," terangnya.

Che Ma @ Salmah Hashim pula ketika ditemui gembira kerana terpilih sebagai pemenang pertama katogeri wanita untuk tahun ini yang menjalankan perniagaan kuih maruku di Kampung Aman sejak 1990 secara kecil-kecilan hasil bantuan beberapa orang wanita setempat.

Usahanya itu bertambah maju dan sekarang bengkel berpindah ke bengkel di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena.

"Alhamdullilah sekarang perniagaan mak cik nampak maju dan jualan hampir lima ribu bungkus setiap hari. Hari Raya Aidil Fitri insya Allah tempahan akan bertambah," tambahnya.

Ketika berucap, Guan Eng berkata, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan kewangan sebanyak RM100 ribu pada tahun 2009 dan 2010 untuk ternakan ayam piru yang mendapat permintaan yang tinggi di pasaran tempatan.

Selain itu, program zon pemprosesan makanan (ZPM) telah diwujudkan untuk

membangunkan industri pemprosesan produk makanan.

Bagi program ZPM, ia disewakan kepada peserta di kawasan industri atau kawasan baru yang strategik dan Jabatan Pertanian akan memberi khidmat pengembangan dan perundingan kepada mereka.

Sasaran pendapatan peserta bagi program itu adalah melebihi RM3,000 sebulan di mana setakat ini dua ZPM telah dibina iaitu ZPM Teluk Air Tawar di daerah Seberang Perai Utara dan ZPM Bukit Tengah di Seberang Perai Tengah.

Sebuah lagi yang dikenali ZPM Relau di daerah Timur Laut akan dibangunkan oleh Jabatan Pertanian.

"Semua ZPM itu kelak membolehkan pengusahanya meningkatkan kadar pendapatan yang tinggi hasil selari dengan peluang yang diperolehi ekoran teknologi pertanian yang semakin canggih," tambahnya.

Turut hadir dalam program bertemakan ‘Hijaukan Bumi' itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun), Datuk Abdul Halim Husin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Zainal Rahim Seman, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Farisan Darus dan ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Tiada ulasan: