Selasa, 6 Julai 2010

3 nama dikatakan berminat jadi Senator


wanita penang Oleh Muda Mohd Noor


PULAU PINANG: Beberapa pemimpin Wanita Umno Pulau Pinang dikatakan mula melobi untuk mengisi jawatan Senator yang bakal dikosongkan Datuk Saripah Aminah Syed Mohammad pada akhir tahun ini.

Walaupun masih berbaki lima bulan, beberapa nama yang terdiri daripada ketua-ketua Wanita bahagian dikatakan mula melobi untuk jawatan tersebut.

Antara yang disebut-sebut ialah dua Exco Wanita, Norliza Abdul Rahim dan Suryati Alang. Norliza adalah ketua wanita Bukit Gelugor manakala Suryati ketua Wanita Bayan Baru.

Manakala seorang lagi yang dikatakan turut berminat ialah Ketua Wanita bahagian Bagan, Jumabi Mohamad, ketua wanita paling senior di Pulau Pinang.

Ketua Umno bahagian Bukit Gelugor Datuk Fauzar Omar dikatakan begitu kuat mahukan ketua wanitanya Norliza dilantik Senator.

Ketika dihubungi Saripah berkata, 10 nama penggantinya telah dihantar kepada Ketua Wanita Umno, Datuk Shahrizat Jalil sebelum dipanjangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Mereka semua adalah merupakan ketua Wanita bahagian melainkan saya, Datuk Jahara Hamid dan Ketua Wanita negeri, Datuk Zabariah Abdul Wahab.

"Saya tidak boleh komen siapa yang terbaik untuk menggantikan tempat saya," katanya.

Bagaimanapun, kata ketua Wanita Jelutong itu, Senator perlu mempunyai kriteria tersendiri iaitu berpengalaman dalam politik; berkelulusan dan ketrampilan yang sesuai.

Khidmat Saripah Aminah sebagai senator akan tamat pada Disember ini. Seorang Senator maksima mempunyai dua penggal dilantik jawatan Senator.

Tiada ulasan: