Jumaat, 2 Julai 2010

2,000 Calon Hadiri Program Cabaran Angkasawan Di Sabah - Dr Faiz




Dr Faiz berharap 'Cabaran Angkasawan' akan memberi inspirasi kepada semua golongan masyarakat terhadap sains aeroangkasa.

PETALING JAYA: Sebuah program realiti yang membawa tema dunia sains aeroangkasa dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat dijangka akan diterbitkan pada tahun hadapan.

Calon Angkasawan Malaysia, Mejar Dr. Faiz Khaleed berkata, program yang masih dalam peringkat perbincangan dan pengembangan idea itu mensasarkan golongan remaja dalam memberi pendedahan secara menyeluruh kepada calon terpilih dan penonton.

Faiz berkata, program yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Angkasawan Malaysia dan Agensi Angkasawan Malaysia.

"Terlalu awal untuk diperkatakan mengenai program itu kerana ia masih diperingkat awal dan semestinya kehadiran program itu nanti akan memberi banyak manfaat kepada masyarakat terutama pelajar sekolah," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di Menara The Star di sini hari ini.

Faiz berkata, idea program itu pada asasnya bukan mencari calon untuk di hantar ke angkasa, tetapi lebih menfokuskan kepada memberi inspirasi kepada peserta dalam memupuk kesedaran dan pendedahan secara menyeluruh mengenai bidang sains sains aeroangkasa.

Menurutnya, ia adalah satu platform yang bagus kepada calon terutamanya golongan pelajar dalam menambah kepentingan terhadap masa depan mereka selain memberi gambaran jelas mengenai tugas dan kriteria yang diperlukan untuk seseorang menjadi angkasawan.

Dalam pada itu, Faiz berkata, ketika ini perancangan mengenai program realiti itu masih berada pada fasa satu yang kini pada peringkat pencarian calon sesuai di seluruh negara untuk program itu nanti.

"Objektif utama saringan ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada calon terhadap proses pemilihan seorang angkasawan sebenar dalam meningkatkan kualiti dan keyakinan diri sama ada mereka terpilih atau pun tidak.

"Alhamdulilah, kita telah memulakan pencarian calon di Kota Kinabalu pada 30 Mei lalu dan dengan publisiti yang agak terhad ia boleh dianggap sebagai satu kejayaan apabila 2,000 calon hadir pada peringkat saringan itu," katanya.

Bercerita lanjut mengenai peringkat saringan itu, Faiz berkata, program yang diberi nama 'Cabaran Angkasawan' itu terbuka kepada semua golongan berumur 16 tahun ke atas dan antara ujian yang dijalankan adalah larian sepanjang 3.5 kilometer dengan tempoh masa selama 25-30 minit, selain beberapa ujian saringan seperti ujian IQ, ujian sains, ucapan awam dan sesi temuduga.

Sesi saringan pertama yang telah dijalankan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu akan diteruskan di Labuan pada minggu hadapan sebelum meneruskan pencarian ke Terengganu dan Johor pada akhir bulan ini.

Sementara itu, Faiz berkata, program realiti yang dijangka akan memulakan penggambaran pada awal tahun depan turut menarik ramai pihak yang menyatakan kesudiaan untuk terlibat sama dalam menjayakan program itu.

Ditanya mengenai isi kandungan program realiti itu nanti, beliau berkata fokus utama program itu adalah untuk memberi pendedahan yang lebih luas kepada semua peserta dan mereka akan dinilai mengikut mata yang diberikan nanti.

"Kita tidak mahu menggunakan sistem khidmat ringkas (SMS) dalam menyingkir peserta tetapi menumpukan kepada mata yang dikumpul sepanjang minggu dengan beberapa tugasan yang diberikan.

"Namun itu semua masih dalam peringkat perbincangan dan tumpuan kita adalah untuk menyelesaikan fasa pertama yang dijangka mengambil masa sehingga hujung tahun ini untuk diselesaikan," katanya.

Tiada ulasan: