Jumaat, 25 Jun 2010

Zunar terus berkartun hingga dakwat terakhir

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: “Kerajaan boleh mengharamkan buku saya, kerajaan boleh mengharamkan majalah saya, tetapi kerajaan tidak boleh mengharamkan minda saya. Saya akan terus berkartun sehingga ke titisan dakwat terakhir," kata Zunar (gambar).

Menurutnya, setakat kenyataan ini ditulis, beliau belum mendapat surat rasmi dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai pengharaman bukunya.

Katanya, berdasarkan laporan Malaysiakini (24 Jun 2010), KDN berkata tiga buku/majalahnya, 1Funny Malaysia, Perak Darul Kartun dan Isu Dalam Kartun telah diharamkan.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque berkata "1Funny Malaysia" adalah koleksi karya-karya pilihan kartunnya yang tersiar dalam ruangan Cartoonkini dalam portal web Malaysiakini dari tahun 2005 hingga 2009.

Katanya lagi, "Perak Darul Kartun" adalah buku terbitan syarikatnya sendiri, Sepakat Efektif Sdn Bhd. "Isu Dalam Kartun (IDK)" adalah majalah bulanan yang mempunyai permit penerbitan dari KDN dan setakat ini tiga edisi IDK telah diterbitkan; vol 1, vol2 dan vol 3.

Tahun lepas, sebuah lagi majalahnya "Gedung Kartun" telah dirampas dan juga telah diharamkan.

Katanya, berdasarkan kenyataan KDN bererti keenam-enam penerbitannya dan juga pasukan kartunis saya telah diharamkan.

Dalam laporan Malaysiakini, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam dipetik sebagai berkata buku-buku tersebut diharamkan kerana ia tidak sesuai untuk bacaan umum.

"Ketiga-tiga bahan penerbitan itu dikenakan perintah larangan kerana mengandungi bahan yang boleh mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan.Ia tidak sesuai untuk bacaan umum dan sekiranya dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam," kata beliau.

Berikut kenyataan Zunar berhubung perkara itu.

1Kerajaan/KDN menuduh bahawa kartun-kartun saya mengandungi bahan yang boleh mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan dan sekiranya dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam. Ia adalah satu tuduhan yang serius dan harus ditunjangi dengan alasan perundangan yang kukuh.

Dengan mengharamkan keenam-enam penerbitan ini, ertinya sebanyak 312 karya-karya kartun saya dan pasukan kartunis saya yang terdapat dalamnya diharamkan.

Saya menuntut KDN/kerajaan memberi penjelasan apakah yang dimaksudkan dengan takrif "mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan dan sekiranya dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam."

Saya menuntut KDN/kerajaan memberi penjelasan karya yang mana dan pada muka surat yang mana dari 312 kartun tersebut yang dikategorikan sebagai mengancam keselamatan negara dan tidak sesuai untuk bacaan umum.

Saya bertanggungjawab dan sedia mempertahankan karya-karya saya.

Saya sedia menghadapi tindakan undang-undang.

Dari sudut perniagaan, larangan KDN ini sudah pasti membawa kerugian besar kepada syarikat saya. Saya menjangka pengedar-pengedar seluruh Malaysia akan memulangkan naskah yang telah beredar di pasaran dan kerugian sekitar RM50,000 hingga RM80,000.

Tetapi, keuntungan material bukanlah matlamat utama saya. Sebagai kartunis, tanggungjawab sosial adalah keutamaan saya.

Melalui karya kartun, saya akan terus membongkar kezaliman, rasuah dan salah laku kerajaan BN. Saidina Ali berkata, "Bercakap benar kepada pemerintah yang zalim adalah patriot sebenar".

Tiada ulasan: