Sabtu, 26 Jun 2010

"Zamihan Berhak Buat Apa Saja"

TV SELANGOR


KUALA LUMPUR — Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Zamihan Mat Zin berhak membuat apa yang beliau suka termasuk membuat laporan polis.

“Dia (Zamihan) berhak buat apa sahaja yang dia suka terhadap saya.

“Saya sudah memberikan taklimat kepada Majlis Tertinggi (MT) mengenai perkara ini. Jadi saya tidak perlu cakap apa-apa lagi,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Zamihan yang membuat laporan polis berhubung “kebocoran” maklumat sulit mengenai keselamatan negara berhubung isu Jemaah Islamiah (JI) yang diadakan Isnin lalu.

Pegawai kanan Institut Latihan Islam Malaysia itu berkata, beliau membuat laporan agar polis melakukan siasatan terperinci bagaimana maklumat sulit boleh “dibocorkan” kepada pihak ketiga.


“Hari ini saya membuat laporan polis atas dua sebab iaitu bagaimana kebocoran maklumat sulit isu keselamatan negara boleh berlaku dan mahu polis menyiasat siapa yang bertanggungjawab membocorkan maklumat itu.

“Sebab kedua adalah atas kenyataan fitnah yang dikeluarkan Saifuddin terhadap saya,” katanya.

Zamihan (gambar) membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baru Bangi dekat sini petang semalam.

The Malaysian Insider difahamkan ketika sesi taklimat itu Zamihan dikatakan mengaitkan beberapa tokoh agama dan politik iaitu bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mufti Perlis Dr Juanda Jaya, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kaitan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Zamihan bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan Presiden PAS, bekas menteri besar Perlis dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Sebaliknya Zamihan mengakui ada “membangkitkan” nama Asri dalam taklimat itu berdasarkan tulisan beliau selama ini.

“Dakwaan itu adalah satu pembohongan, dusta dan khianat,” kata Zamihan.

“Saya tidak pernah menyentuh ketiga-tiga tokoh itu mempunyai kaitan kecuali Asri, itupun berdasarkan analisis daripada buku-bukunya yang dilihat mempunyai pemikiran yang sama dengan JI,” katanya.

Ketika membuat penjelasan di Dewan Rakyat baru-baru ini, Saifuddin menegaskan, polis tidak pernah mengaitkan empat tokoh di negara ini sebagai kumpulan pengganas.

“Sebenarnya pada 21 Jun lalu, ada dua taklimat... satunya diberikan oleh pihak Bukit Aman. Saya fikir taklimat ini adalah tepat dan tidak menimbulkan sebarang masalah dan saya akan mempertahankannya.

“Tetapi ada taklimat kedua. Ini yang saya dengar beberapa pihak mempersoalkannya kerana mengaitkan anggota Parlimen, bekas menteri besar, mufti dan bekas mufti,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang juga Naib Presiden parti itu.

Beliau berkata, tindakan mengaitkan wahabi yang tidak pernah difatwa sebagai ajaran sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dengan kegiatan pengganas adalah satu perbuatan yang dilihat melampau.

“Saya juga mendapati orang yang memberi taklimat ini mempunyai masalah dengan bekas mufti Perlis. Jadi bagaimana boleh dikatakan masalah peribadi hendak dijadikan masalah keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata, tindakan mengaitkan agama dengan keganasan adalah berpunca daripada gejala Islamofobia yang banyak berlaku di negara Barat dan ia tidak sepatutnya dibawa ke negara ini.

Tiada ulasan: