Ahad, 20 Jun 2010

Teliti Cadangan 15 Tahun Lalu, Kampung Baru Kekal Melayu

TV SELANGOR


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Baru Julai ini bagi membawa pelan alternatif melibatkan masalah pembangunan semula Kampung Baru.

Beliau juga meminta penduduk Kampung Baru supaya menilai cadangan yang pernah dibentangnya 15 atau 20 tahun lalu, sebagai pilihan kepada pelan yang dikemukakan Putrajaya baru-baru ini.

Meskipun Kampung Baru kini terletak dalam pentadbiran Wilayah Persekutuan, Khalid menyatakan Selangor mempunyai tanggungjawab pentadbiran untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Kampung Baru adalah sebahagian daripada Selangor sebelum Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dibentuk.

Sebelum itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, PKNS adalah entiti bertanggungjawab ke atas pembangunan Kampung Baru dan undang-undang menyatakan hak pengurusan masih kekal di tangan Menteri Besar Selangor.

"Saya akan berjumpa dengan penduduk Kampung Baru pada Julai ini, hanya untuk memberi pandangan alernatif. Bukan maknanya saya dapat menyelesaikan masalah ini.

"Perkara ini sudah saya bentangkan kepada kerajaan Malaysia hampir 15 tahun dahulu apabila saya diminta merangka pemnbangunan Kampung Baru. Ini dapat dilakukan tetapi masyarakat Melayu tidak kehilangan hak pemilikan tanah," katanya.

Pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru pada Isnin lalu secara tegas mahu sebarang cadangan pembangunan semula kampung itu mesti mengekalkan 100 peratus hak milik Bumiputera.

"Oleh kerana banyak 'peminat' untuk menjaga tanah di Kampung Baru, jadi cadangan projek itu ditingalkan saja. Saya minta masyarakat Kampung Baru menilai semula cadangan yang saya beri 15 atau 20 tahun dahulu.

"Bukan saya mahu campur hal orang Kampung Baru tapi memberi peluang untuk melihat cadangan yang saya buat. Ini saya lakukan supaya penduduk Kampung Baru dapat menikmati pembangunan hartanah tanpa tidak hilang kuasa pemilikan orang Melayu," katanya.

Tiada ulasan: