Jumaat, 18 Jun 2010

Tatatertib: Mahasiswa berjaya halang UKM

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya mendapat perintah injunksi sementara bagi menghalang pihak universiti meneruskan prosiding tatatertib terhadap mereka.

Keempat-empat mereka (gambar) adalah Muhammad Hilman Idham, Woon King Chai, Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adza yang merupakan pelajar dari jurusan Sains Politik.

Menurut laporan Bernama, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aziah Ali membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas kedua-dua pihak bersetuju melanjutkan perintah injuksi sebelah pihak yang diperoleh pelajar itu pada 1 Jun lalu, sehingga pelupusan saman pemula mereka.

Pada 1 Jun lalu, mereka memfailkan saman pemula terhadap kerajaan Malaysia, Menteri Pengajian Tinggi dan UKM, bagi mencabar tindakan tatatertib yang dikenakan ke atas mereka.

Mereka dituduh atas kesalahan melanggar perkara 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (AUKU) mengikut Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (AUKU) kerana terlibat dalam politik kepartian.

Mereka juga memohon deklarasi bahawa Seksyen 15(5)(a) AUKU, adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah, kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Seksyen itu menyebut bahawa tiada seorang pun pelajar universiti boleh menyatakan atau melakukan apa jua yang boleh ditafsirkan sebagai sokongan atau simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik sama ada di dalam atau di luar negara.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 9 Julai ini bagi mendengar saman pemula itu.

Tiada ulasan: