Sabtu, 5 Jun 2010

Taib Mahmud gagal menangkis gelombang perubahan

Zhang Nian Sheng



Nasib SUPP selepas PRK Sibu (Bahagian pertama)

Sudah lebih daripada 50 tahun SUPP (Sarawak United People's Party) bertapak di Sarawak. Pada tahun 1970, SUPP bertukar landasan politik dari pembangkang ke pemerintah, dan terus terendam dalam sistem yang korup sepenuhnya. Kerakusan dan ketagihannya terhadap kuasa kini sudah menjangkau tahap yang ketara.

Pada masa yang sama, untuk mengekalkan kedudukan dan pangkat pimpinan tinggi dalam parti, SUPP melakukan segala yang boleh untuk mengampu Ketua Menteri Taib Mahmud (gambar kanan) yang sudah 29 memerintah di Sarawak. SUPP berpeluk tubuh pada ketika hak dan kepentingan komuniti Cina tercabul, menjadikan parti yang paling bersejarah di Sarawak ini semakin kehilangan sokongan rakyat.

Pilihan raya negeri 2006

Pilihan raya negeri pada 20 Mei 2006, penduduk bandar mula menggunakan undi dalam tangan untuk menentang agenda politik yang menentang suara rakyat. Pilihan raya ini berakhir dengan kekalahan SUPP di Kuching, bahkan empat kawasan majoriti pengundi Cina telah ditembusi. Malah, jawatan Datuk Bandar Bandaraya Kuching Selatan yang selama ini dipegang SUPP, kini dilantik daripada kakitangan kerajaan berketurunan Cina.

Selain itu, gelombang perubahan bergelora di kawasan Bukit Assek dan Meradong, malah menular ke kawasan Pelawan, Dudong dan Repok, sehingga SUPP menang tipis di ketiga-tiga kawasan ini. Sementara itu, tekad untuk mengembalikan kawasan Kidurong di Bintulu turut gagal, ketika berdepan dengan arus suara rakyat.

Loceng amaran telah berdering untuk SUPP selepas pertarungan 20 Mei 2006. Buat kali pertama SUPP kehilangan Engkilili selepas peristiwa Ming Court pada tahun 1987. Lantaran daripada itu, parti politik yang berasaskan kaum Cina ini semakin tersekat dalam rangka komuniti Cina.

PRU ke-12 pada 8 Mac 2008 menyaksikan bagaimana Chong Chieng Jen dari DAP mempertahankan kerusinya di Kuching, mematahkan serangan Sim Yaw Yen dari SUPP-BN dengan majoriti 9,952 undi. Kemenangan ini menutup mulut SUPP, yang sebelum ini menuduh DAP menang di pilihan raya negeri 2006 dengan pendekatan menghasut sentimen pengundi. Perlu diingatkan bahawa Chong Chieng Jen hanya menang dengan majoriti 2,041 undi dalam PRU pada tahun 2004.

Peralihan pengundi Cina Sarawak

PRK Sibu pada 16 Mei 2010 menyaksikan bagaimana SUPP yang dinaungi Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) dan UMNO, "memindahkan" kabinet kerajaan persekutuan dan negeri ke Sibu untuk menarik undi. Namun, pertarungan sengit ini berakhir dengan penembusan kubu tradisional BN, malah memperlihatkan tsunami politik yang kini menuju ke utara. Tapak SUPP di Sungai Rajang telah ditenggelami, dan tsunami kini mengarus ke arah sarang Presiden SUPP, George Chan Hong Nam (gambar kiri) di utara.

Pada tahun 1970-an, pengundi Cina Sarawak berpegang kepada pendirian "tidak memangkah selain SUPP". Tetapi, SUPP kini bertukar menjadi "racun" undi. Proses ini memperlihatkan bagaimana pengundi yang sebelum ini menaruh harapan tinggi, dikecewakan kemudiannya, dan kini berpatah hati. Sememangnya, undi protes hari ini bukan terjadi dalam sekelip mata.

Bagaimanapun, SUPP tetap mempersalahkan pengundi Cina kerana "tidak mengenang budi". Keluhan Wong Soon Koh dari SUPP, ketika ditemuramah wartawan sebaik diumumkan SUPP-BN tewas dalam PRK Sibu, "Saya tidak tahu apa yang pengundi Cina Sibu mahu!" menunjukkan apa yang sebenarnya bermain dalam minda pimpinan SUPP. Malah, pemimpin parti ini masih bertanggapan bahawa segala pembangunan di Sarawak pada hari ini merupakan kurniaan SUPP dan BN, tanpa menyedari kereputan dalam parti dirinya, dan jaraknya yang semakin melebar dari rakyat.

Biarpun pengundi telah menyampaikan ketidakpuasan mereka terhadap parti ini melalui PRK Sibu, namun pimpinan SUPP masih mencari alasan untuk menghalalkan ketidakmampuan dirinya, kepincangan dasarnya dan penekanannya terhadap komuniti Cina selama ini.

Menekan dengan majoriti dalam DUN

Dua hari selepas PRK Sibu melabuh tirai, Chong Chien Jen dari DAP dan Dominique Ng dari PKR telah dilarang untuk masuk ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang bersidang pada 18 Mei 2010, berikutan usul yang dibawa oleh pemimpin SUPP dan PBB. Kemudian, ADUN Meradong-DAP, Ting Tze Fui pula dirujuk kepada Jawatankuasa Keistimewaan DUN, satu drama yang diusahakan oleh Wong Soon Koh di depan Pak Uban, Taib Mahmud.

Sejak tahun 2006, Wong Soon Koh membantu Taib Mahmud untuk menyingkirkan (menggantung) pembangkang dari DUN, dengan alasan yang remeh-temeh. Chong Chien Jen (gambar kiri) menjadi mangsa pertama, dan diikuti dengan Richard Wong Ho Leng. Kini, Chong Chien Jen dikenakan sekali lagi, dan Ting Tze Fui bakal menyusul kemudiannya. Tindakan Wong Soon Koh cukup membeliakkan mata orang ramai.

Pada hakikatnya, sebelum pilihan raya negeri tahun 2006, satu-satunya ADUN pembangkang, Chiew Chin Sing turut mengalami nasib yang sama. Chiew membangkitkan isu "China Doll" yang menyamar idenititi diri sebagai penuntut di sebuah kolej tempatan, tetapi terlibat dalam "pekerjaan lain". Isu yang berkaitan dengan kepentingan awam ini tidak dipandang berat dalam DUN, sebaliknya Chiew disingkirkan dari DUN, setelah diusulkan Wong Soon Koh. Dalam hal ini, Menteri PBB berterus terang dengan ADUN pembangkang, bahawa Wong Soon Koh memang pandai berlakon di depan master-nya.

Seterusnya, SUPP menggunakan pelbagai taktik untuk menghalang ADUN pembangkang daripada membangkitkan isu politik, termasuk meninggalkan DUN secara kolektif untuk menggagalkan pindaan Kanun Tanah yang diusulkan pembangkang. Tindakan ini menonjolkan ketidakmampuan SUPP, pengecut, sekadar berani menekan pembangkang, tetapi bukan master-nya yang menekan komuniti Cina selama 29 tahun. Bukan sahaja SUPP mendiamkan diri, malah membodek dan menyolek master-nya.

Ketika menangkis tuduhan pembangkang terhadap Taib Mahmud pada tahun 2009, Wong Soon Koh (gambar kanan) mengeluarkan kenyataan yang paling klasik, berbunyi "Kamu boleh tohmah saya, boleh tohmah SUPP, tetapi tidak boleh tohmah Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak!"

*Zhang Nian Sheng ialah penulis yang menetap di Sarawak. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang, daripada teks asal MerdekaReview, edisi bahasa Cina yang disiarkan pada 31 Mei 2010.

Tiada ulasan: