Isnin, 7 Jun 2010

SUPP bakal jadi Gerakan di Sarawak?

Zhang Nian Sheng



Nasib SUPP selepas PRK Sibu (Bahagian kedua, tamat)

Biarpun sandiwara Wong Soon Koh ini mengundang "malapetaka" untuk partinya, bahkan kenyataannya yang tidak sesuai selama ini telah mencalar imej partinya, namun Presiden SUPP, George Chan Hong Nam selaku Timbalan Ketua Menteri Sarawak tetap tidak mengambil pendirian selama ini.

Keadaan ini berlaku kerana Wong Soon Koh menyasarkan kedudukan Timbalan Ketua Menteri. Sikap kedua-dua Wong dan Chan yang mengutamakan jawatan tetapi mengabaikan rakyat ini telah meletakkan SUPP pada satu kedudukan yang lebih genting.

Keberanian kedua-dua mereka untuk memperlekehkan suara rakyat sebenarnya berasal daripada "sokongan rakyat" di kawasan pengundian masing-masing. Misalnya, biarpun melalui ribut petir PRK Sibu getir, SUPP masih berjaya memperolehi majoriti 866 undi, malah undi Iban dalam pedalaman adalah jaminan untuk mendapatkan pangkat.

Malah, kawasan DUN Piasau yang dikuasai George Chan (gambar kiri) selama ini, memberikan kemenangan yang amat selesa kepadanya, dengan majoriti 3,918 undi pada pilihan raya negeri tahun 2006.

Dalam keadaan ini, tindak tanduk Wong Soon Koh yang bercanggahan dengan suara rakyat bukan sahaja tidak dihalang, malah digalakkan secara tidak langsung oleh George Chan, mengundang krisis yang lebih besar untuk SUPP.

Pergelutan kuasa dalam parti

Kehilangan lapan kerusi DUN oleh SUPP dalam pilihan raya negeri pada tahun 2006 telah mencetus pergelutan kuasa dalam parti itu sendiri. Dari tahun 2007 hinggalah tahun 2009, Wong Soon Koh menggunakan pelbagai taktik untuk menghapuskan puak musuh dalam parti dan memperkukuhkan kedudukan dirinya dalam parti. Tindakan ini tidak dihalang, malah George Chan selaku Presiden hanya berpeluk tubuh dan mendiamkan diri.

Dari pergelutan kuasa dalaman parti, hinggalah pengabaian kepentingan rakyat, memberhentikan peruntukan, mendiamkan diri apabila berdepan dengan dasar yang tidak memihak kepada masyarakat Cina, bahkan menghalang pembangkang untuk bersuara.

Kesemua gejala ini memperlihatkan kerakusan kuasa yang mereputkan SUPP, mencungkil rungutan dan ketidakpuasan di kalangan rakyat. Selepas kekalahan PRK Sibu, Wong Soon Koh menyasarkan Ting Tze Fui (ADUN Meradong-DAP), mengambil tindakan ke atasnya dengan majoriti mutlak yang dipegang BN dalam DUN Sarawak, menyemarakkan lagi kemarahan orang ramai di Sarawak.

Pada hakikatnya, persekongkolan antara SUPP dengan kumpulan ekonomi dalam negeri juga memberi kesan kepada kawalan laporan media cetak tempatan. Pemimpin SUPP sering menyekat ruang untuk mereka yang berbeza pandangan. Sering kali mereka yang hanya orang bawahan berlagak bertindak untuk tuannya, menelefon ke bilik editor untuk bercampur tangan. Mereka tidak menghormati profesional dan autoriti bilik media, melempar "label politik" sewenang-wenangnya, malah menekan wartawan yang dilabel sebagai "tidak sehaluan".

Projek tebatan banjir atau projek kroni?

Tema "Undi SUPP=Undi Taib Mahmud" yang ditetapkan oleh DAP dalam PRK Sibu amat menyentuh hati pengundi, kerana pemerintahan kerabat Taib Mahmud kira-kira 30 tahun telah memonopoli hampir kesemua peluang dan kepentingan pembangunan ekonomi dalam negeri.

Di Lembah Sungai Rejang, Taib membantah projek pembersihan dan pendalaman sungai, lantas mengakibatkan kawasan ini sering ditimpa banjir. Walaupun berdepan dengan pelbagai kritikan, SUPP tetap menyokong projek empangan untuk mencegah banjir, iaitu menebat Sibu daripada dibanjiri. Tetapi kesan penyelesaian ini dipertikai dan dibidas orang ramai.

PM Najib berkata secara terbuka bahawa kerajaan akan melaksanakan projek tebatan kebanjiran dalam masa dua tahun, ketika beliau berkempen di PRK Sibu. Bagaimanapun, kenyataan PM ini seolah-olah satu tamparan sengit kepada SUPP. Ia menonjolkan kenyataan bahawa SUPP tidak terdaya melakukan apa-apa dalam tebatan banjir biarpun sudah 40 tahun berada dalam arena politik.

Idea yang diketengahkan SUPP dalam projek tebatan banjir hanya terbatas kepada beberapa pekan, dan tidak menyelesaikan masalah secara menyeluruh. SUPP pernah mengundang pakar dari China, tetapi pakar ini mencadangkan agar sungai diperdalamkan, sebagai penyelesaian jangka panjang.

Di sebaliknya, Taib Mahmud pula membantah cadangan ini. Puncanya senang difahami. Projek mengorek pasir sebenarnya dikuasai kroni PBB, dan pendekatan yang dicadangkan itu akan menjejaskan kepentingan kroni PBB.

Pembangkang di Sarawak pernah mencadangkan agar projek mengorek pasir terbuka kepada syarikat yang diusahakan rakyat biasa, untuk menjimat kos. Tetapi cadangan ini semestinya tidak disenangi Taib Mahmud, lalu pemimpin SUPP mempertahankan bosnya dengan bangkit membidas pembangkang.

Faktor Taib + Faktor Wong Soon Koh

Dalam keadaan di mana faktor "Taib Mahmud" bergabung dengan faktor "Wong Soon Koh", retorik SUPP berbunyi "penglibatan politik demi pembangunan" dan retorik Taib Mahmud bahawa "BN menggerakkan pembangunan", telah menjadi sindiran. Sebaliknya, orang ramai memerli dengan "lagi bangun lagi miskin". Buktinya terpampang nyata apabila Sarawak sebagai negeri yang terkaya dari segi sumber semulajadinya, tetapi menjadi negeri yang keempat termiskin di Malaysia.

SUPP mempertahankan "politik pembangunan" yang dipertikaikan, malah memaparkan muka yang hodoh ketika menghambat kuasa. Mereka cuba membina imejnya sebagai pejuang kepentingan masyarakat Cina, tetapi bersikap sambil lewa apabila terhakisnya kepentingan komuniti Cina, lebih-lebih lagi menghalang pembangkang untuk bersuara. Kesemua ini membuatkan pengundi Cina menggelengkan kepala, lantas menafikan SUPP dengan undi yang ada dalam tangan.

Kenyataan angkuh Wong Soon Koh selepas PRK Sibu bahawa "Saya tidak tahu apa yang orang Cina Sibu mahu", telah mencungkil reaksi yang besar dari kalangan komuniti Cina di Sarawak Tengah.

Seandainya SUPP gagal meredakan ketidakpuasan yang terpendam dalam hati masyarakat Cina terhadapnya, dalam tempoh setahun akan datang, maka bahagian pertengahan Sarawak bakal menjadi sasaran pembangkang. Seandainya fenomena ini menular ke bahagian utara Sarawak, tidak mustahil kalau SUPP bakal mengikut jejak Gerakan, dan menjadi parti "Gerakan" di Sarawak.

*Zhang Nian Sheng ialah penulis yang menetap di Sarawak. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang, daripada teks asal MerdekaReview, edisi bahasa Cina yang disiarkan pada 31 Mei 2010.

Tiada ulasan: