Isnin, 28 Jun 2010

SPRM temu PI Bala di London minggu pertama Julai


KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menemui detektif persendirian P. Balasubramaniam minggu pertama bulan depan, tetapi sama sekali tidak membenarkan peguamnya hadir sama berhubung dakwaan maklumat terbaru berkaitan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Peguam Balasubramaniam Americk Sidhu berkata, lokasi dan tarikh untuk SPRM mengambil keterangan daripada detektif persendirian itu sudah ditetapkan.

SPRM akan menemui Balasubramaniam di London pada 5 dan 6 Julai.

“Kami menunggu kehadiran pegawai-pegawai SPRM di London dan menemui (Balasubramaniam),” kata beliau dalam kenyataan emel kepada The Malaysian Insider.

Bercakap kepada The Malaysian Insider, Americk berkata, pihaknya kini di peringkat akhir perundingan dengan SPRM.

“Semua sudah dibincangkan kecuali SPRM tidak mahu membenarkan peguam kami untuk hadir sama apabila mereka menemu bual subjek (Balasubramaniam).

“Kami tidak bersetuju dengan ini, dan kami akan mengetahui hasilnya minggu depan,” kata Americk lagi.

Mengenai syarat dibenarkan rakaman video, Americk berkata, SPRM juga tidak bersetuju dengan permintaan tersebut.

“Tetapi kami menjangkakan sekiranya salah seorang peguam hadir ketika sesi temu bual, maka peguam berkenaan boleh mencatatkan hasil percakapan setiap maklumat yang diberikan, yang dapat menyelesaikan masalah rakaman tidak dibenarkan,” katanya.

Akhir Mei lalu, SPRM berkata pihaknya bersedia untuk mengambil keterangan penyiasat persendirian Balasubramaniam berhubung kes pembunuhan Altantuya.

Sebelum ini SPRM menyambut baik kesediaan Balasubramaniam untuk dirakamkan percakapannya berhubung kes itu.

Americk sebelum ini berkata Balasubramaniam belum menerima surat rasmi daripada SPRM sekalipun pada 19 April lepas Timbalan Ketua Pesuruhjaya Datuk Mohd Shukri Abdull menyatakan kesediaan untuk bertemu penyiasat persendirian itu di mana sahaja yang dirasakan sesuai.

Sebelum ini usaha SPRM untuk mengambil keterangan Balasubramaniam menemui jalan buntu kerana tidak mengetahui lokasi penyiasat persendirian itu berada selepas menghilangkan diri bersama keluarga pada Julai 2008.

Balasubramaniam sebelum itu mencetuskan kontroversi apabila mengumumkan akuan bersumpah berkenaan pembunuhan Altantuya tetapi menarik balik pernyataan itu menerusi akuan bersumpah kedua pada keesokannya.

Tiada ulasan: