Ahad, 6 Jun 2010

SPRM DIMINTA SIASAT 'PERMAINAN' JKR SABAH

Oleh: RAHUL FIRDAUS


RAMAI kontraktor Bumiputera melahirkan rasa tidak puas hati dengan 'permainan' Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah berhubung penjualan dokumen tender bagi projek membina dan menyiapkan Bengkel MPV di SMK Benoni dan SMK Bongawan, kedua-duanya di Papar yang menyebabkan mereka bukan sahaja menghadapi pelbagai kesukaran membeli dokumen tender tersebut, malah kebanyakkannya langsung tidak berpeluang mendapatkannya.

Pihak pengendali tender berkenaan ialah Perbendaharaan Malaysia Sabah tetapi jabatan pelaksana dan mengeluarkan tender dilakukan Ibu Pejabat JKR di Sembulan, manakala urusan lawatan tapak dikendalikan JKR Daerah Papar.

Hampir 40 kontraktor menyertai lawatan tapak bagi setiap projek tersebut dan yang sangat menyedihkan mereka, dokumen tender hanya dijual selepas ‘hampir’ dua minggu lawatan tapak dilakukan.

Penjualan dokumen tender pula hanya diberi tempoh lebih kurang empat hari sahaja sebelum tarikh mengemukakan tender ditutup. Dalam jangka masa empat hari itu, kebanyakan kontraktor terbabit juga gagal membeli dokumen tender berkenaan kerana kaunter pembayaran JKR pula tidak mempunyai petugas yang dikatakan bercuti.

Akibat daripada karenah yang menimbulkan tanda tanya itu, kontraktor terbabit yang kebanyakan sudah 'naik angin' membuat andaian bahawa tender bagi kedua-dua projek tersebut semacam sudah diatur oleh pihak tertentu. Tetapi siapa agaknya yang menjadi 'dalang'?

Sungguhpun kebetulan bertembung dengan hari cuti Pesta Kaamatan tetapi rasionalnya jabatan kerajaan haruslah memberi tempoh yang sesuai dan mencukupi bagi petender supaya mereka dapat mengambil bahagian dalam sesuatu tender yang ditawarkan sejajar dengan amalan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan yang diberi penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi gagasan yang beliau ilhamkan, 1Malaysia: ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.’

"Karenah yang dilakukan JKR itu bukan sahaja tiada ketelusan, malah ia sangat menyusahkan kontraktor. Kalau JKR tidak mahu penender menyertainya, projek tersebut sepatutnya tidak perlulah dibuka tender. Mereka mungkin boleh beri terus kepada kontraktor pilihan mereka," katanya seorang kontraktor yang mendakwa berpejabat di Kota Kinabalu.

Menurut beliau, kalau dia sendiri yang menetap di Kota Kinabalu menghadapi pelbagai kesulitan dengan tindakan kakitangan JKR itu, bayangkanlah bagi kontraktor yang datang dari jauh seperti Tawau, Kudat dan Keningau? Betapa siksanya mereka hanya kerana mahu mendapatkan dokumen itu dan terpaksa balik pula dengan tangan kosong.

"Saya kira apa yang berlaku ini bukan sahaja tidak dapat diterima, malah ia mencalar imej kerajaan," katanya, yang beliau sendiri mengambil keputusan tidak menyertai tender itu akibat kesukaran membeli dokumen tersebut.

Sama ada Pengarah JKR Sabah, John Anthony menyedari karenah yang dilakukan kakitangan bawahannya ini dan merestuinya tidak dapat dipastikan namun beliau sebagai 'Tuan Besar' di jabatan berkenaan, beliau haruslah tampil memberi penjelasan secara terbuka dan jika perlu memohon maaf kepada kontraktor terlibat.

Pada masa yang sama, Pegawai Kewangan Persekutuan mungkin wajar membuat teguran kepada JKR berhubung masalah ini kerana sikap tidak telus jabatan berkenaan boleh turut memalitkan lumpur ke muka mereka.

Bagi memastikan 'kudis' seumpama ini tidak wujud dalam mana-mana jabatan kerajaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin perlu menjalankan siasatan kepada jabatan berkenaan supaya ketidaktelusan ini boleh dibendung daripada terus bermaharajalela.

Para kontraktor terbabit, berdasarkan rekod lawatan tapak di JKR tentunya sedia memberi kerjasama kepada pegawai SPRM dalam siasatan yang dilakukan.

8 ulasan:

somboi berkata...

SPRM perlu menyiasat dakwaan kontraktor2 ini. jika terdaapt unsur penyelewangan dan rasuah, tindakan perlu diambil.

Tanpa Nama berkata...

dakwaan yang dibuat oleh kontraktor2 tersebut perlu disiasat. memang terdapat keraguan mengenai penjualan tender tersebut, kerana masa yang diberikan adalah terlalu singkat. perkara ini perlu disiasat.

langsat berkata...

Pihak SPRM perlu menyasat perkara ini. Aduan yang dijelaskan oleh penender tersebut ada kebenarannya bagaimanapun pemilihan tender biasanya sudah ditetapkan oleh pihak2 tertentu. Biasalah ini adalah permainan antara JKR dan penender tersebut. Apa yang penting penender yang berjaya mendapatkan projek tersebut harus menjalankan tanggung jawab dan menyiapkan projek pada masa yang ditetapkan, penender juga harus menjaga kebajikan pekerja yang menjalankan tugas dan tidak bersifat kedekut.

pagardawai berkata...

SPRM wajar menyiasat permainan JKR Sabah. Ini kerana kita tidak mahu wang kerajaan yang disalurkan terbazir dan hak rakyat untuk mendapat kemajuan tidak dipenuhi. Permainan JKR dan ular-ular yang suka ambil kesempatan dalam kesempitan harus disiasat dan bukti harus dikemukakan supaya setiap sen wang rakyat yang dibelanjakan menepati harga sebenar...rugilah kalau kita bayar harga bagus untuk barang buruk

Lucas berkata...

Apa SOP (Standard of Procedure) JKR dlm pemberian kontrak?

Sepatutnya tender tersebut perlu terbuka, & individu atau syarikat yg berjaya mendapat projek tersebut perlu didedahkan...selepas dapat tender, satu tempoh masa bertenang perlu ada, bagi membolehkan orang ramai menghantar bantahan jika tidak bersetuju dgn lantikan kontraktor baru itu...

Paquin berkata...

Bagus juga hal ni diketengahkan. sekurang-kurangnya akan ada pihak yg tampil beri perhatian akan hal ni :)

Paquin berkata...

Buatlah aduan rasmi dulu dan minta sprm buat siasatan. Jika betul, ada bukti yg JKR ni menyeleweng pasti SPRM takkan teragak-agak utk membuat tindakan.

Paquin berkata...

Betul 2718. JKR patut buat penjelasan. Mana tau ada udang sebalik mee kan. Jika pihak atasan JKR bekerjasama dgn sprm,saya yakin hal ni lebih mudah dipantau utk kebaikan semua pihak.