Selasa, 1 Jun 2010

Sime Darby, Pos Malaysia Perlu Jelas Kerugian Kepada Parlimen


logo-sdb Oleh Staf FMT

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil pihak pengurusan Sime Darby Bhd dan Pos Malaysia Bhd bagi memberi penjelasan berhubung kerugian yang ditanggung oleh kedua-dua syarikat itu.

Pengerusinya Datuk Seri Mohamed Azmi Khalid berkata kedua-dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu dijangka dipanggil pada minggu kedua persidangan Parlimen yang dijadual bermula 7 Jun ini.

"Kita buat keputusan untuk panggil kedua-dua syarikat ini memandangkan isu ini mempunyai kepentingan awam," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata, "kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam kedua-dua syarikat ini.pos-malaysia Tetapi memandangkan ia kes berprofil tinggi dan mendapat liputan meluas oleh media, jadi kita perlu panggil mereka untuk beri penjelasan."

Azmi juga tidak menolak kemungkinan akan memanggil pengurusan Khazanah Nasional Berhad berdasarkan penglibatannya dalam Pos Malaysia.

Sime Darby dilaporkan mengalami kerugian lebih RM1.6 bilion akibat daripada lebihan kos dalam projek kendaliannya, dan berikutan itu, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid, yang kontraknya sebagai Ketua Eksekutif Kumpulan sepatutnya berakhir pada 26 November ini, telah diminta bercuti.

Pos Malaysia pula terpaksa membuat peruntukan (kerugian) berjumlah RM257 juta untuk dua tahun kewangan yang lalu ekoran dari terhakisnya nilai saham dalam Transmile Group Bhd.

Ketika ditanya sama ada PAC bersetuju tindakan syarikat konglomerat (Sime Darby) mengarahkan Ahmad Zubir supaya bercuti, Azmi secara ringkas berkata "Itu bukan urusan kami. Kami belum merumuskan apa-apa, kami hanya ingin tahu fakta dan apa yang sedang berlaku dalam syarikat itu."

Azmi juga berkata jawatankuasa itu hampir selesai menyiapkan laporan berhubung projek landasan berkembar elektrik kereta api antara Rawang dan Ipoh yang menelan belanja hampir RM1.43 bilion, iaitu 32.9 peratus lebih tinggi daripada nilai kontrak asal.

Ia juga hampir menyiapkan laporan mengenai Syarikat Prasarana Negara Bhd (SPNB) berhubung prosedur pelupusan aset oleh syarikat tersebut termasuk rancangannya untuk melupuskan 1,139 unit badan bas yang tersadai di depot bas di Serendah dan Sungai Buaya.

Tiada ulasan: