Jumaat, 25 Jun 2010

Shah Alam bakal miliki persimpangan bertingkat baharu

MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN


SHAH ALAM– Pengerusi Tetap Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan; Ronnie Liu Tian Khiew berkata Bandaraya Shah Alam bakal mempunyai persimpangan bertingkat baharu bernilai RM50 juta di tol Sungai Rasau untuk kemudahan pengguna lebuh raya Persekutuan.

Ronnie selaku Ahli Dewan Negeri (ADUN) Pandamaran berkata, projek ini dilaksanakan sebagai laluan alternatif bagi menghubungkan bandar I-City serta kawasan Seksyen 7 yang menjadi pusat tarikan pelancongan baharu di negeri ini sekaligus dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi di Selangor.

“Kerajaan negeri sudah meluluskan satu persimpangan baharu yang berhampiran dengan tol Sungai Rasau menghubungkan Seksyen 7 sekaligus menjadi sistem penyuraian lalu lintas yang terbaik, apabila Shah Alam mempunyai persimpangan tambahan ini dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar Shah Alam,” katanya.

Kerja-kerja pembinaan persimpangan bertingkat Seksyen 7 itu dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk disiapkan dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor, katanya dalam sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Caladenia, Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.

“Kos pembinaan persimpangan bertingkat ini sepatutnya dibiayai oleh kerajaan pusat, memandangkan keadaan sekarang kalau kita nak tunggu sampai kerajaan pusat untuk memberi kelulusan bajet untuk membina persimpangan itu kita rasa kena tunggu lama, jadi kita buat keputusan untuk gunakan bajet negeri bagi membiayai kos pembinaannya nanti,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya pembinaan persimpangan bertingkat itu masih dalam peringkat cadangan dan perlu diusulkan dalam Sidang Dewan Negeri Selangor bulan depan bagi mendapatkan peruntukan pembinaannya.

“Kita tidak perlu tunggu sampai bajet tahun depan, saya harap kita boleh masukkan dalam bajet pertengahan tahun ini jadi saya harap bajet ini boleh diluluskan dalam Sidang Dewan Negeri yang akan datang dan kita boleh memulakan projek ini dalam masa setengah tahun,” ujarnya.

Kerja pembinaan persimpangan bertingkat baharu Seksyen 7 itu dijangka dimulakan pada enam bulan akan datang, katanya.

Dianggarkan bandar I-City ini setiap hari menerima pelawat sekurang-kurangnya 10,000 orang manakala 20,000 lagi pada setiap hujung minggu.

Jumlah pelawat dijangka bertambah dari semasa ke semasa apabila pengunjung datang menyaksikan perlawanan Bola Sepak Piala Dunia 2010 di bandar cahaya digital ini.

Seksyen 7 dilihat berpotensi menjadi nadi pembangunan Shah Alam kerana pada masa ini dilengkapi dengan pusat pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Industri Selangor (UniSEL).

Selain pendidikan, Seksyen 7 turut dilengkapi dengan Ibu Pejabat Polis Shah Alam yang baru disiapkan manakala Hospital Besar dan bangunan mahkamah baharu pula dalam proses disiapkan dalam masa terdekat. –

Tiada ulasan: