Isnin, 21 Jun 2010

Serangan Israel mungkin berulang - Mukhriz

UTUSAN ONLINE

NIBONG TEBAL - Perdana Global Peace Organisation (PGPO) tidak menolak kemungkinan sekumpulan kapal kecil yang berhasrat menghantar bantuan ke Gaza melalui Lebanon bakal menerima nasib sama dengan tujuh kapal konvoi bantuan yang diserang rejim Israel baru-baru ini.

Penasihat PGPO, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kumpulan terbaru itu bakal berdepan risiko tersebut selepas Israel awal-awal lagi sudah melaungkan amaran untuk melakukan apa sahaja bagi menghentikan sebarang bentuk konvoi menuju ke Gaza.

Sehubungan itu katanya, PGPO akan bekerjasama dengan badan-badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk di luar negara untuk terus memberi isyarat kepada Israel bahawa masyarakat dunia tanpa mengira fahaman agama prihatin terhadap nasib rakyat Palestin.

''Israel mengeluarkan amaran yang sama ketika tujuh kapal melakukan konvoi ke Gaza baru-baru ini dan akhirnya mereka diserang, berdasarkan pengalaman sebelum ini ada kemungkinan ia berulang lagi.

''Sebab itu kita minta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Lebanon tidak tunduk kepada tekanan Israel dan dunia perlu bersama-sama memberi tekanan kepada Israel supaya membenarkan konvoi berkenaan meneruskan perjalanan ke Gaza," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Nibong Tebal, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Zainal Abidin Osman dan timbalannya, Datuk Mahmud Zakaria.

Mukhriz diminta mengulas kenyataan Duta Israel ke PBB semalam yang menggesa Lebanon dan masyarakat antarabangsa supaya mencegah sekumpulan kapal kecil yang mahu belayar dari Lebanon untuk menghulurkan misi bantuan ke Gaza.

Gabriela Shalev melalui sepucuk surat kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, memberi amaran akan menggunakan 'semua tindakan perlu' bagi menghentikan konvoi yang didakwa memberi kesan kepada keamanan serta keselamatan di rantau itu.

Menurut Mukhriz, Israel tidak mempunyai hak mewujudkan sekatan kepada masyarakat dunia untuk menghantar bantuan ke Gaza kerana PBB sendiri tidak pernah mempersetujui sebarang bentuk sekatan seumpama itu.

''Kita harap PBB tidak tunduk terhadap tekanan ini kerana tiada peruntukan undang-undang yang menyekat usaha menyalurkan bantuan, sekatan yang dikatakan oleh Israel adalah sekatan haram kerana ia tidak pernah diluluskan PBB," jelasnya.

Dalam pada itu, Mukhriz memberitahu, PGPO berharap Israel akan mengembalikan semula dua kapal iaitu MV Rachel Corrie dan Challenger I yang ditawan rejim Zionis itu secepat mungkin.

Ia bagi membolehkan dua kapal tersebut dapat menyertai misi flotila 60 kapal yang akan digerakkan oleh PGPO dan beberapa NGO lain di seluruh dunia pada September ini.

''Buat masa ini, kita minta bantuan daripada Jordan dan Turki untuk berunding bagi pihak PGPO supaya Israel melepaskan tujuh kapal yang ditahan itu dan kedua-dua negara itu optimis akan mendapatkan semula kapal-kapal tersebut," tambahnya.

Tiada ulasan: