Isnin, 28 Jun 2010

Seorang pelajar MTD disingkir, empat lagi digantung pengajian

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Seorang pelajar tingkatan lima Maktab Tentera Diraja (MTD) yang disyaki terbabit mengakibatkan kematian Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri, 16, dipercayai dibuli dan didera di maktab itu Rabu lalu, disingkir serta-merta daripada pengajiannya.

Empat lagi rakannya digantung pengajian sehingga siasatan kes selesai.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan dibuat untuk menyingkirkan pelajar itu serta-merta selepas siasatan mendapati pelajar tersebut membuli dengan niat sejak awal tahun ini.

"Pihak maktab membuat keputusan untuk menyingkir pelajar tersebut serta-merta. Kes saman sivil juga akan dikenakan. Dia akan berdepan tindakan daripada tentera, kami (kementerian) dan polis," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil kepada petugas Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2010) di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kementerian memandang serius kes buli di sekolah dan tindakan perlu diambil bagi membendung gejala itu serta mengelak perkara sama daripada berulang.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, yang juga Pengerusi MTD, berkata kementerian menyerahkan siasatan kes berkenaan kepada polis.

Katanya, sebelum ini maktab itu pernah mengambil tindakan terhadap pelajar yang melanggar peraturan MTD, termasuk kes buli, dengan mengasingkan pelajar itu atau menyingkirkannya terus dari maktab.

Beliau berkata, kawalan ketat akan dilakukan termasuk warden dikerah bertugas pada waktu malam bagi mengelak insiden sama berlaku.

"Kejadian ini membuatkan kita berhati-hati dan memandang serius dengan gejala buli di sekolah,” katanya.

Mohammad Naim meninggal dunia Rabu lalu di Pusat Perubatan Angkatan Tentera di Kem Sungai Besi selepas tidak sedarkan diri dipercayai akibat dibuli.

Pada 25 Jun lalu, polis menahan kelima-lima pelajar tingkatan lima kolej itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan membunuh, yang membawa hukuman mati mandatori. -

Tiada ulasan: