Rabu, 2 Jun 2010

Selcat mula dengar dakwaan Mike esok

Harakahdaily


SHAH ALAM: Pendengaran Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban Dan Ketelusan (Selcat) Selangor terhadap urusniaga perlombongan pasir Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) akan diadakan bermula pagi esok hingga 4 Jun ini.

Menurut satu kenyataan Sekretariat Akhbar Kerajaan Negeri Selangor, pendengaran terbuka itu akan diadakan di Bilik Gerakan, Tingkat 2, bangunan ANNEX, SUK Selangor mulai jam 10 pagi.

Ia diadakan ekoran dakwaan anggota Parlimen PKR dari Kapar, S Manikavasagam (gambar) yang mendakwa berlaku penyelewengan dalam perlombongan pasir oleh anak syarikat kerajaan negeri Selangor itu.

Pegawai kanan KSSB dijangka akan memberikan keterangan secara terbuka dalam sessi itu manakala Manikavasagam dijangka akan menjadi saksi utama kerana beliau yang membuat dakwaan itu.

Sebuah akhbar politik, Siasah, melaporkan, Manikavasagam bertegas beliau bukannya seorang pengkhianat tetapi menjalankan tugasnya sebagai Pengarah Biro Aduan Rakyat PKR selepas menerima aduan dari orang ramai.

"Saya bukan pengkhianat parti dan saya juga bukan seperti YB Wangsa Maju. Melalui isu pasir dia mengambil kesempatan untuk keluar parti. Tiada pendirian," kata Manikavasagam dalam wawancara khas dengan wartawan Siasah di pejabatnya.

Beliau yang lebih dikenali dengan nama Mike berkata akan menghadiri penyiasatan awam oleh Selcat pada 2 dan 4 Jun ini bersama tiga peguamnya serta para penyokong.

Namun, Selcat mengarahkan Mike tidak boleh menggunakan peguam dalam pendengaran awam ini. Peguam beliau hanya boleh menjadi pemerhati sahaja.

Beliau juga diminta jangan membawa saksi kerana mereka besar kemungkinan akan dipanggil kemudian jika perlu.

Pendedahan Mike menjadi isu baru-baru ini apabila beliau mendakwa ada berlaku penyelwengan dalam Kumpulan Semestan Sdn Bhd (KSSB) anak syarikat kerajaan negeri yang ditubuhkan untuk mengendalikan pengeluaran pasir di negeri ini.

Mike mendakwa, sepatutnya, melalui jualan pasir ini kerajaan negeri mendapat RM180 juta setahun tetapi hanya dapat empat juta sahaja tahun lepas.

"Sewaktu kerajaan di bawah Barisan Nasional, mereka memperolehi 17 juta setahun lebih banyak daripada sekarang," dakwa Mike lagi.

Tiada ulasan: