Selasa, 1 Jun 2010

Selangor kutuk serangan Israel, desak batal perjanjian APCO

MERDEKA REVIEW



Kerajaan Selangor mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel menyerang kapal yang membawa bantuan kemanusian kepada penduduk di Gaza.

Tindakan tentera Zionis itu sama sekali tidak boleh diterima oleh masyarakat berbilang kaum di Selangor kerana ia perbuatan kejam dan melampaui batas kemanusian.

Serangan tentera Israel itu adalah jenayah perang dan mencabuli kebebasan kerana konvoi keamanan itu membawa sukarelawan dari seluruh dunia yang mahu membantu penduduk Palestin.

Seluruh rakyat Malaysia perlu berkabung bagi menghormati kehilangan 16 nyawa setakat ini, dalam serangan kejam tentera Zionis itu.

Kerajaan Selangor mendesak Mahkamah Keadilan Antarabangsa menyiasat dan bertindak terhadap tentera Zionis kerana melakukan jenayah yang dikutuk seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat dunia.

Perdana Menteri, Najib Razak perlu menyatakan dengan jelas bahawa Malaysia telah memutuskan semua hubungan diplomatik dan perniagaan dengan Kerajaan serta rakyat Israel.

"Perdana Menteri perlu mengistiharkan bahawa Malaysia secara rasmi telah membatalkan kontrak dengan APCO dan mengharamkan sistem teknologi keselamatan untuk kegunaan polis yang dibekalkann syarikat Eropah dan Amerika Syarikat dengan nasihat teknikal Yahudi," katanya.

Kerajaan Malaysia perlu membuat pendirian tegas bagi menyampaikan mesej jelas kepada Israel bahawa tindakan menyerang konvoi kemanusiaan itu adalah jenayah dan dibantah rakyat negara ini.

Menteri Besar juga mendoakan agar semua sukarelawan, termasuk 11 rakyat Malaysia yang salah seorangnya ahli majlis, Majlis Perbandaran Klang Jamaluddin Elias, pulang dengan selamat secepat mungkin.

Serangan helikopter tentera Israel menyebabkan 16 anggota konvoi Gaza-Freedom Flotilla yang menaiki kapal Mavi Marmara terbunuh dan hampir 30 cedera.

Konvoi bantuan untuk rakyat Gaza menggunakan tujuh kapal telah memulakan perjalanan dari Laut Mediterranean tetapi telah dikepung oleh tentera Israel dan setakat ini hanya Kapal Mavi Marmara sahaja yang melaporkan diserang.

Kapal-kapal ini turut membawa ahli parlimen dari Malaysia, Eropah dan beberapa negara lain dan mereka kini berdepan dengan serangan yang lebih berat dari rejim Israel.

*Kenyataan media daripada pejabat Menteri Besar Selangor.

Tiada ulasan: