Isnin, 14 Jun 2010

Sekat masuk kapal kargo Israel berlabuh di Malaysia segera

MERDEKA REVIEW



Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak kerajaan agar menyekat kemasukan kapal dagang Israel daripada memasuki perairan negara. Kemasukan kapal dagang Israel dan berlabuh di pelabuhan-pelabuhan negara satu tindakan yang tidak konsisten setelah Parlimen meluluskan usul mengutuk tindakan ganas komando Israel terhadap misi bantuan kemanusian kapal Mavi Marmara.

Malahan AMK Selangor mendesak kerajaan mengemukakan butiran lengkap di Parlimen sejak bila kapal-kapal dagang dan kargo Israel bebas memasuki perairan negara sejak sekian lama. Tindakan ganas komando Israel menyekat kemasukan misi talian hayat kepada rakyat Palestin wajar membuka mata kerajaan dan dunia agar satu tindakan lebih tegas dan keras dikenakan terhadap regim Zionist Israel.

AMK Selangor juga menyatakan bantahan keras jika selepas ini masih ada lagi kebenaran kapal-kapal dagang dan kargo yang ada hubungan kait dengan negara regim Zionist Israel bebas "menjajah" kedaulatan perairan negara. Jika benar kerajaan tegas dan konsisten dengan prinsip menyokong perjuangan dan pengorbanan rakyat Palestin.

AMK Selangor juga hairan bagaimana dengan mudahnya perairan dan kedaulatan negara bebas dimasuki kapal-kapal kargo Israel di mana dikatakan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dan ekonomi samada secara rasmi atau tidak rasmi. Kejadian serangan komando Israel pada 31 Mei lepas terhadap anak kapal Mavi Marmara yang berada di perairan antarabangsa jelas mencabuli undang-undang antarabangsa. Maka tiada sebab kerajaan Malaysia masih membenarkan kapal dagang Israel dengan angkuh dan berlagaknya memasuki ruang perairan Malaysia.

AMK Selangor menegaskan tindakan kerajaan perlu lebih konsisten dalam isu keganasan regim Israel terhadap masyarakat Palestin serta dunia. Kita amat kagum dengan ketegasan negara Turki terhadap tindak-tanduk regim Zionist Israel ini. Jika Perdana Menteri serius memperjuangkan nasib rakyat Palestin, maka kita tuntut satu tindakan yang berani daripada pimpinan negara untuk menggerakkan misi bantuan kemanusiaan yang di bawah kendalian kerajaan Malaysia. Selama ini misi bantuan kemanusiaan digerakkan oleh NGO-NGO yang mungkin banyak keterbatasannya.

Ditegaskan kita perlu lebih bertindak daripada sekadar menyatakan kutukan dan kecaman terhadap Israel. Selama ini berapa banyak usul dan resolusi telah dikemukakan di peringkat antarabangsa langsung tidak meredakan keganasan regim Israel malahan semakin ganas dari hari ke sehari. Justeru kita mahu kerajaan memainkan peranan yang lebih berani, tegas dan konsisten dalam pembebasan rakyat Palestin di bawah kekejaman regim Zionist Israel.

Maka, kita tuntut dalam tempoh 48 jam ini agar pihak kerajaan dan kementerian yang bertanggungjawab mengeluarkan notis larangan untuk menghalang mana-mana kapal Israel berlabuh di pelabuhan-pelabuhan negara ini serta-merta.

*Kenyataan media oleh Mohd Ezli Mashut selaku Ketua Penerangan AMK Selangor.

Tiada ulasan: