Khamis, 17 Jun 2010

"Saya masih Setiausaha Politik MB Selangor" – Nik Nazmi


Nik Nazmi Oleh Qayum Rahman


PETALING JAYA: Ahli Dewan Negeri Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan bahawa beliau masih lagi menjadi setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau juga menafikan menjawat jawatan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti yang dinyatakan dalam media arus perdana hari ini.

Menurutnya, tiada perubahan jawatan berlaku berkaitan beliau dan media arus perdana mengeluarkan kenyataan tidak tepat dengan membuat andaian melalui sumber-sumber yang tidak benar.

Beliau berkata, "saya masih setiausaha politik menteri besar dan tiada apa-apa perubahan setakat ini, tanyalah kepada mereka yang mengeluarkan kenyataaan bukannya daripada saya sendiri.

"Media yang mengeluarkan kenyataan bahawa saya telah menjadi Pengarah Komunikasi PKR adalah tidak tepat," katanya ketika dihubungi wartawan Free Malaysia Today hari ini.

Mstar Online memetik melalui sumber menyatakan pelantikan itu mengesahkan desas-desus bahawa beliau bakal melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor yang disandangnya sejak tahun 2008 berkuat kuasa semalam.

Difahamkan, pengumuman mengenai pelantikan itu akan dibuat oleh PKR dalam masa terdekat.

Bagaimanapun Nik Nazmi tetap menafikan bahawa tiada perubahan seperti yang dinyatakan dan ianya hanya dijadikan satu isu untuk dihangatkan.

"Saya akan terus berkhidmat dengan Menteri Besar dan tidak mengetahui apa-apa pelantikan baru seperti yang diwar-warkan," jelasnya lagi.

Sumber mStar Online juga menyatakan belum ada calon yang disebut-sebut bakal menggantikan kedudukan Nik Nazmi jika beliau melepaskan jawatan sebagai setiausaha politik Menteri Besar.

Berdasarkan laman web rasmi PKR, www.keadilanrakyat.org, Pengarah Komunikasi PKR masih lagi Jonson Chong.

Tiada ulasan: