Khamis, 17 Jun 2010

Sabah : UMNO & LDP rebut kerusi Dun Merotai?

SABAH DAILY

Sebanyak 191 cawangan Umno Bahagian Kalabakan mahu supaya kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Merotai yang dipinjamkan kepada LDP dikembalikan kepada parti itu.

Ketuanya, Datuk Ghapur Salleh berkata usul ini telah sebulat suara dikemukakan semasa Persidangan Cawangan-cawangan Tahunan Umno bahagian Kalabakan yang berakhir pada 11 Jun lalu.

Beliau berkata rakyat di kawasan Merotai mengeluh mereka dianaktirikan selama dua penggal pilihan raya (PRU 11 dan PRU 12).

“Saya terima banyak aduan dari ahli-ahli Umno dan rakyat di kawasan Merotai, bahawa mereka dianaktirikan dan meminta saya selaku Ketua Umno bahagian untuk memanjangkan aduan mereka kepada pemimpin atasan di peringkat negeri dan pusat supaya kerusi Dun Merotai dikembalikan kepada parti Umno,” jelas Ghapur.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini kelmarin.

Menurut Ghapur dua kali pilihan raya LDP telah diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat di sana, apa yang mengecewakan penduduk Melayu dan Bumiputera dianaktirikan.

“Rakyat mahu wakil rakyat yang boleh membantu mereka…saya khuatir pada PRU 13 akan datang Dun Merotai akan jatuh ke tangan pembangkang. Kita sedia maklum Parlimen Kalabakan amat kukuh kepada BN…jangan kerana denyutan nadi rakyat tidak didengari pihak atasan kita akan berputih mata pada PRU 13 akan datang,” tegas Ghapur.

Pada pilihan raya umum 2004 PRU ke 11, Wakil Rakyat Merotai ialah Tan Sri Liew Yun Fah daripada LDP dan pada tahun 2008 PRU 12, Liew tidak terpilih menjadi calon Dun Merotai dan Pang Yuk Min mengganti tempat beliau sebagai Wakil Rakyat di kawasan itu.

Tiada ulasan: