Selasa, 8 Jun 2010

RTM Cari Program Terbaik Untuk Tingkatkan Rating - Ketua Pengarah Penyiaran

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) merancang untuk mencari program terbaik bagi ditayangkan di siarannya terutama di TV2 dalam usaha meningkatkan lagi ratingnya, kata Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ibrahim Yahaya.

Beliau berkata RTM akan memastikan program yang akan ditayangkan nanti bukan sahaja bermutu tinggi tetapi juga mneyampaikan mesej tertentu untuk mempereratkan lagi hubungan antara kaum.

"Ia juga bagi memastikan gagasan 1Malaysia dapat diteruskan walaupun dalam bentuk drama ataupun dokumentari. Oleh itu saya meminta para pengeluar drama teruslah memikirkan usaha bagaimana mesej kerajaan akan dapat terus sampai kepada penonton dan para pendengar.

"Ini bagi memastikan apa yang diharapkan kerajaan terutama dalam memastikan rakyat menghayati gagasan 1Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Kuiz Mega National Geographic, di Bukit Kiara Country Resort.

Turut hadir itu Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Kamaruddin Siaraf.

Seramai enam pemenang memenangi hadiah utama dan mendapat wang tunai masing-masing berjumlah RM5,000.

Mereka ialah Khairi Sibirin Hood dari Ampang, Nur Amalina Mohd Amin (Bandar Baru Nilai), Azman Idris (Kluang) ,Suriani Kamnoh (Batu Pahat), Muhammad Faizul Amri Mohd Noor (Triang, Pahang) dan Awang Mohd Azlan Ahlee (Sarawak).

Tiada ulasan: