Rabu, 16 Jun 2010

RMK10: Kerajaan tidak utamakan kebajikan rakyat

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) tidak akan mempunyai perbezaan dengan Rancangan Malaysia yang terdahulu, iaitu tidak mengutamakan kebajikan rakyat jika kerajaan tidak mengubah sikap dalam menguruskan ekonomi negara.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sewaktu membahaskan RMK10 di Dewan Rakyat hari ini berkata, Malaysia akan terus mengalami kemerosotan ekonomi jika kerajaan masih meneruskan pembinaan projek-projek mega yang hanya menguntungkan syarikat-syarikat besar.

"Banyaknya projek-projek mega pada zaman kita banyak duit. Projek yang tidak memberi faedah kepada rakyat. Contohnya di negeri saya sendiri (Terengganu) masih ramai nelayan yang hidup daif, pantai-pantai yang hakis termasuk di Sarawak masih banyak yang miskin, hasil minyaknya banyak tapi digunakan untuk projek mega yang tidak menolong rakyat bawahan.

"Sebab untuk dapat komisyen kepada syarikat-syariakt tertentu. Kalau buat projek kepada rakyat tidak dapat komisyen yang besar. Kalau sikap ini masih ada lagi dalam RMK ke 10 ini, saya yakin dan percaya RMK10 akan menerima nasib yang sama seperti rancangan (Malaysia) yang terdahulu," katanya.

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, kerajaan harus sedar bahawa keseluruhan model ekonomi yang digunakan pada hari ini berasal dari Barat dan Zionis, yang ternyata mempunyai niat untuk menyekat negara-negara yang sedang membangun termasuk Malaysia sendiri.

"Kita perlu sedar dan mengambil iktibar bahawa keseluruhan model ekonomi yang dibawa ini dilihat diambil daripada pakar-pakar ekonomi barat dan zionis. Bila sebut barat sudah pasti zionis ada di dalamnya yang tidak akan memberi peluang kepada kita negara yang sedang membangun untuk bangun. Nama sahaja negara yang membangun tapi tak bangun-bangun dan menjadi pendorong kepada negara-negara yang lebih besar.

Ujarnya, negara membangun seharusnya mengeratkan kerjasama di antara satu sama lain tanpa terlalu mengharapkan negara-negara maju yang berkiblatkan Barat.

"Apa yang penting negara yang sedang membangun ini diadakan satu kerjasama di antara satu sama lain dengan cara yang sewajarnya. Dasar perdagangan bebas di peringkat antarabangsa yang lebih mementingkan penyangak-penyangak antarabangsa sebenarnya tidak boleh menolong negara yang sedang membangun. Apa yang mustahak kita perlu menjadi juara untuk menggerakkan negara sedang membangun ini bersama-sama.

"Apalagi kita melihat sumber-sumber ekonomi asas ini daripada negara yang sedang membangun. Negara Eropah mana ada hasil, mana ada getah, kelapa sawit dan sebagainya. Negara yang membangun mempunyai tanah yang lebih luas tapi disebabkan kita tidak mengolah dengan cara yang baik kita selama-lamanya menjadi penyumbang kepada kekuatan ekonomi mereka. Kita tidak membina ekonomi kita sendiri kerana tidak ada kerjasama di antara satu sama lain," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Kerajaan BN tidak terlalu angkuh sebaliknya turut mengambil kira segala teguran dan pandanagn yang membina daripada pihak pembangkang untuk menyelamatkan negara daripada terus berada di zon kehancuran.

"Saya ingin menasihatkan supaya kerajaan sedar dan insaf. Kerajaan menerima teguran daripada semua pihak termasuk daripada pembangkang kerana pembangkang ini kerjanya bukan mambangkang tapi yang lebih penting memberi nasihat dan pandangan yang bernas dan teguran yang berguna kepada kerajaan dengan hujah-hujah dan fakta-fakta yang tepat.

"Kita tidak mahu hujah dan fakta kerajaan yang menghentam semua hujah yang diberikan kita. Namun demikian kami bersabar, kami bersikap sebagai pohon yang berbuah yang memberi manfaat. Walaupun orang melontar pohon itu, pohon tetap memberi buah yang bermanfaat kepada orang yang melontarnya. Mudah-mudahan sikap ini diambil kira juga oleh pihak kerajaan dan kita berharap kerajaan membuat muhasabah yang sebenarnya," katanya.

Tiada ulasan: