Khamis, 17 Jun 2010

RMK-10: PM yakin capai pelaburan swasta RM115 bilion

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan yakin sasaran kerajaan untuk menarik pelaburan swasta RM115 bilion setahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10) akan dicapai melalui pelaksanaan ekosistem yang kondusif.

Perdana Menteri berkata sasaran itu, yang amat besar, perlu diikuti dengan tindakan susulan yang bersifat meningkatkan pembangunan ekosistem untuk membolehkan matlamat itu tercapai.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan, berkata ekosistem itu perlu dilihat dari pelbagai sudut, termasuk pekerja yang lebih produktif, berkemahiran dan efisien yang akan melibatkan banyak latihan.

“Ia termasuk keefisienan pasaran, iaitu menjadikan pasaran negara lebih kompetitif,” katanya pada majlis pelancaran kempen Beli Barangan Buatan Malaysia 2010 di sini.

Yang turut hadir adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yakcob.

Mengenai Kempen Beli barangan Buatan Malaysia, katanya kempen seperti ini akan meningkatkan produktiviti syarikat tempatan.

Beliau, yang menyifatkan kempen seperti itu sebagai usaha tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi yang boleh dilaksanakan, berkata perbelanjaan melalui kempen itu akan memberi kesan limpahan.

Ini ialah kerana pendapatan para peruncit atau pengeluar tempatan akan meningkat dan guna tenaga akan bertambah dan kesannya, syarikat yang mendapat keuntungan akan membuat pelaburan semula, meningkatkan teknologi pengeluaran dan menghasilkan produk yang berinovasi untuk dipasarkan, katanya.

“Mereka akan lebih berani untuk melabur dan semakin tinggi daya saing mereka bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan turut mengambil peranan sebagai pemangkin dan mempromosikan keefisienan pasaran untuk membolehkan sektor swasta membuat keputusan pelaburan.

Kempen seperti ini, katanya tidak boleh dilihat seperti langkah perlindungan kerana ia bertujuan merangsangkan lagi peranan sektor swasta supaya negara dapat memupuk syarikat swasta yang kompetitif di pasaran dunia.

“Kempen seperti ini diharap akan dapat merangsangkan lagi ekonomi tempatan,” katanya.

Tiada ulasan: