Isnin, 7 Jun 2010

Rasuah: SPRM perlu siasat lebih telus, tiada prejudis

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) berharap agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih telus dalam menjalankan tugas supaya sebarang kes berkaitan rasuah dapat disiasat tanpa ada rasa prejudis.

Ketuanya, Nasrudin Hassan at-Tantawi (gambar) berkata, dengan itu SPRM dapat menjalankan tugas tanpa sebarang tekanan dari pihak kerajaan mahupun swasta serta tidak dipertikaikan lagi integritinya oleh rakyat Malaysia.

Beliau juga amat berharap agar kerajaan melalui SPRM memandang serius serta mengambil satu tindakan yang drastik terhadap kes rasuah yang semakin menjadi barah.

Ini, katanya berdasarkan kepada laporan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman bahawa seramai 418,200 atau 41 peratus penjawat awam dikesan terbabit dengan aktiviti penerimaan rasuah pada tahun lalu.

Tambahnya, ini merupakan satu angka yang amat mengejutkan, kemudiannya antara 1,000 hingga 2,000 penjawat awam didapati memalsukan atau cuba mengubah jumlah asal cuti sakit pada sijil cuti sakit.

Rata-rata umumnya, kata beliau tahu bahawa majoriti penjawat awam terdiri daripada orang berketurunan melayu yang beragama Islam.

“Di manakah silapnya sehingga mereka tergamak melakukan perbuatan rasuah? Apakah mereka tidak boleh menilai buruk baiknya rasuah itu? Bukankah rasuah satu perbuatan yang berdosa?” tanya beliau.

Ataupun, ujarnya lagi rakyat Malaysia sudah hilang rasa sensitif terhadap rasa dosa dan haram.

“DPPP mendesak agar SPRM lebih efektif dalam menangani isu ini kerana Malaysia yang diwar-warkan sebagai negara Islam sepatutnya malu dengan hasil kajian ini.

“Perlunya undang-undang baru berkaitan rasuah digubal dengan segera demi memastikan gejala ini tidak berterusan dan merosakkan serta menjahanamkan ekonomi negara,” katanya.

Katanya, kalau negara China boleh menjatuhkan hukuman mati kepada pesalah rasuah, kenapa Malaysia tidak mahu melaksanakan satu undang-undang yang lebih berkesan bagi membasmi gejala tersebut.

Tiada ulasan: