Isnin, 21 Jun 2010

Rakyat kita terkandas di Mekah

TEMERLOH – Seramai 43 rakyat Malaysia yang mengerjakan umrah pada musim cuti sekolah ini gagal pulang ke tanah air apabila terkandas di Mekah sejak Rabu lalu.

Jemaah tersebut yang terdiri daripada 17 lelaki dan 26 wanita sepatutnya tiba ke tanah air pada hari berkenaan tetapi gagal berbuat demikian berikutan pasport yang dipegang oleh agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan mereka dilaporkan hilang.

Perkara itu dimaklumkan oleh seorang guru, Meor Ahmad Shamsuddin Meor Mohd. Afendi, 52, apabila empat ahli keluarganya termasuk isteri, Roshana Mohamad, 52, yang mengikuti rombongan tersebut gagal pulang ke tanah air berikutan masalah tersebut.

Katanya, turut mengikuti rombongan tersebut ialah ibu mertuanya, Hawa Salleh, 72, dan dua adik iparnya, Maafor Mohamad, 23, dan Noraini, 27.

Meor Ahmad berkata, kejadian itu diketahui selepas isterinya memaklumkan insiden tersebut menerusi telefon.

Dia kesal dengan kelemahan agensi pelancongan terbabit yang menyebabkan pasport antarabangsa ahli rombongan berkenaan hilang.

Menurutnya, kelemahan itu tidak dapat dimaafkan kerana ia menyusahkan ahli rombongan dan waris mereka yang majoritinya merupakan guru yang akan memulakan sesi persekolahan esok.

“Empat ahli keluarga saya bersama rombongan lain berada di Mekah selama dua minggu sejak cuti persekolahan bermula.

“Pihak agensi pelancongan dikatakan menyalahkan ahli rombongan sedangkan semua pasport dipegang oleh mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Meor Ahmad Shamsuddin memberitahu, isterinya memaklumkan bahawa semua jemaah ditempatkan sementara di sebuah hotel di Mekah sebelum menunggu kelulusan mendapat pasport baru yang diusahakan Kedutaan Malaysia di Arab Saudi.

Sehubungan itu, dia mengucapkan terima kasih kepada pihak kedutaan yang mengusahakan pasport baru serta perbelanjaan lain yang sepatutnya ditanggung pihak agensi pelancongan terbabit.

“Dengan pertolongan pihak kedutaan, mereka boleh balik ke Malaysia menggunakan mana-mana syarikat penerbangan yang beroperasi di situ.

“Jika menggunakan Malaysia Airlines (MAS), mereka dijangka tiba ke tanah air esok,” katanya.

Bagaimanapun, Meor Ahmad Shamsuddin kesal apabila isterinya memaklumkan bahawa agensi terbabit mahu menggunakan syarikat penerbangan Pakistan yang dikatakan lebih murah berbanding syarikat penerbangan lain.

“Jika menggunakan syarikat penerbangan Pakistan, mereka dijangka tiba di Malaysia pada Jumaat ini iaitu seminggu selepas sesi persekolahan dibuka,” katanya.

Tambahnya, dia juga sangat risau kerana isteri dan ahli keluarganya yang lain kini kehabisan wang.

Meor Ahmad Shamsuddin turut menggesa kerajaan memantau agensi-agensi pelancongan yang menganjurkan pakej umrah.

Tiada ulasan: