Rabu, 23 Jun 2010

Presiden lawan presiden: Murugiah tarik permohonan

BERNAMA



Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah, hari ini menarik balik permohonannya untuk kebenaran semakan kehakiman bagi membatalkan perisytiharan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bahawa Datuk M Kayveas adalah Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) yang sah.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh membenarkan permohonan itu dalam kamarnya dan memerintahkan Murugiah membayar kos RM3,000.

Murugiah diwakili peguam Mohana Krishnan manakala Peguam Kanan Persekutuan Nadia Tajuddin mewakili ROS. Peguam Simon Sabapathy pula menjadi pemerhati bagi pihak PPP.

Murugiah memfailkan permohonan itu pada 26 April lalu untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan ROS bertarikh 26 Ogos tahun lalu.

Beliau juga memohon perisytiharan bahawa keputusan itu adalah melampaui batasan undang-undang dan tidak sah.

ROS bukan sahaja mengesahkan Kavyeas sebagai Presiden PPP yang sah tetapi juga memutuskan pelantikan Murugiah sebagai presiden pada 24 Mei 2009, pada mesyuarat agung luar biasa (EGM), sebagai tidak sah.

ROS juga menyifatkan pemecatan Murugiah daripada PPP dilakukan mengikut peruntukan dalam perlembagaan parti itu dan oleh itu ianya adalah sah.

Murugiah juga menuntut deklarasi bahawa ROS tidak mempunyai bidang kuasa mengikut Akta Pertubuhan untuk membuat sebarang keputusan mengenai kesahihan atau sebaliknya mesyuarat EGM parti itu.

Tiada ulasan: