Selasa, 22 Jun 2010

Potong gaji bantu Gaza

SINAR HARIAN ONLINE


KOTA BHARU - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang bermula semalam menerima usul mengecam tindakan rejim Israel yang menyerang kapal misi bantuan kemanusiaan, konvoi Freedom Flotilla ke Gaza, baru-baru ini.

Cadangan yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas Abdullah Yakub dan disokong oleh semua ADUN termasuk daripada UMNO.

:Seramai empat ADUN mengambil bahagian dalam pembahasan iaitu Nik Mazian Mohamed (Pas-Gaal), Datuk Noor Zahidi Omar (BN-Pengkalan Kubur), Abdul Latif Abdul Rahman (Pas-Mengkebang) dan Mohamed Mustaffa (Pas-Demit).

Bagi tujuan tersebut, Noor Zahidi Omar (BN-Pengkalan Kubor) mencadangkan agar kesemua ADUN termasuk Exco memberi sumbangan kewangan sebulan gaji sebagai tanda sokongan terhadap rakyat Palestin yang menderita akibat kekejaman yang dilakukan oleh Israel.

Selain itu katanya, sokongan itu boleh dizahirkan dengan tindakan menghantar salah seorang ADUN ke misi bantuan kepada rakyat Palestin yang dirancang selepas ini.

Bagi Mohamad Mustafa (Pas-Demit) pula menyokong saranan yang dibuat oleh Noor Zahidi supaya ADUN menyumbang sebulan gaji malah mencadangkan agar seluruh kakitangan Kerajaan Negeri turut melakukan tindakan sama.

Katanya, sumbangan itu boleh dilakukan dengan tindakan pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri memotong gaji secara tetap untuk disalurkan kepada institusi yang menguruskan bantuan kepada rakyat Palestin.

Sementara itu, Nik Mazian (Pas-Gaal) berkata, semangat perkauman tidak dapat membantu menyelesaikan masalah di Palestin sedangkan rakyat di Palestin juga adalah berbangsa Arab dan sama dengan bangsa di Mesir, Syria dan negara Arab yang lain.

Katanya, walaupun memiliki bangsa yang sama, namun disebabkan mementingkan keduniaan dan kebendaan, sesetengah dari negara tersebut tidak bersepakat untuk membantu menyekat kekejaman Israel.

Sementara itu, Abdul Latif Abdul Rahman (Pas-Mengkebang) mencadangkan agar hubungan Kerajaan Pusat dengan perunding komunikasi negara ini iaitu Apco Worldwide ditamatkan segera kerana ramai dikalangkan perunding tersebut ialah mereka yang pernah bekerja dengan Israel.

Abdul Latif berkata, Kerajaan Pusat seolah-olah mempermainkan rakyat negara ini dengan membuat kutukan terhadap kekejaman Israel tetapi dalam masa yang sama menggunakan kepakaran mereka dalam menasihati kerajaan untuk menaikkan imej negara di mata dunia.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, Kerajaan Negeri telah mengambil beberapa inisiatif untuk membantu warga Palestin termasuk menubuhkan tabung ‘Cakna Palestin’ selain membiayai pembelajaran warga Palestin yang berada di negara ini.

”Saya juga mencadangkan wakil rakyat di negeri ini mengambil anak angkat di kalangan anak-anak Palestin di Gaza dengan menyumbangkan bantuan secara bulanan kepada mereka,” katanya.

Tiada ulasan: