Selasa, 15 Jun 2010

PM: Status Raja Permaisuri bukan wanita pertama

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Kedudukan Raja Permaisuri Agong adalah lebih tinggi daripada “wanita pertama” kerana kedudukan baginda diberi keutamaan seperti yang termaktub dalam Perkara 32 (2) Perlembagaan Persekutuan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata tanggapan bahawa gelaran wanita pertama merujuk kepada Raja Permaisuri Agong adalah tidak tepat.

Katanya terminologi wanita pertama tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan, justeru menyamakan Raja Permaisuri Agong dengan terminologi tersebut adalah tidak tepat sama sekali.

“Sekiranya ada dan diamalkan, wanita pertama di Malaysia mestilah berada di bawah daripada kedudukan Raja Permaisuri Agong,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Tian Chua (PKR-Batu) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Perkara 32 (2) Perlembagaan Persekutuan menyebut; “Permaisuri Yang di-Pertuan Agong (yang digelar Raja Permaisuri Agong) adalah mengambil keutamaan mengatasi segala orang lain dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong.

“Berdasarkan adat, budaya dan amalan protokol di Malaysia, gelaran wanita pertama tidaklah menjadi suatu amalan. Ramai orang berpendapat dalam konteks negara Malaysia, gelaran itu merujuk kepada Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong,” kata Najib.

Selain itu, Chua turut membangkitkan persoalan mengenai perbelanjaan kerajaan dalam penerbitan iklan dalam akhbar The New York Times pada 16 April lepas mengenai isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib menjelaskan kerajaan dan mana-mana agensinya tidak terlibat sama sekali dengan iklan tersebut, sama ada dari segi perancangan, penempahan atau pembayaran.

“Iklan dua muka surat yang dimaksudkan itu telah muncul di akhbar berkenaan semasa lawatan rasmi saya ke Amerika Syarikat (AS) April lepas. Isu ini timbul setelah sebuah portal berita membuat tuduhan kononnya pihak The New York Times memberitahu iklan itu ditempah oleh kerajaan Malaysia,” katanya.

Menurut Najib, beliau difahamkan iklan berkenaan telah ditempah oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Amerika Syarikat sempena anugerah kepada Rosmah di atas kerja-kerjanya dalam hal ehwal kemanusiaan dan memperjuangkan pendidikan kanak-kanak.

“Saya juga difahamkan NGO tersebut telahpun menulis surat dan membuat penjelasan kepada New York Times dan portal berita itu bahawa iklan itu tiada kena-mengena dengan kerajaan Malaysia. Dengan itu saya kira soal kos kepada kerajaan tidak timbul dan perkara ini tidak lagi menjadi persoalan,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata jumlah perbelanjaan keseluruhan lawatan rombongan Perdana Menteri ke Amerika dan Jepun pada April lepas adalah berjumlah RM1,887,268.13.

“Jumlah perbelanjaan lawatan ke Amerika bagi Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear yang diadakan 12 dan 13 April lepas ialah RM1,461,732.17 dan RM425,535.96 untuk lawatan rasmi ke Jepun pada 18 hingga 21 April lepas.

“Ia meliputi tambang kapal terbang, elaun makan, penginapan, sewa kenderaan dan perbelanjaan pelbagai,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) di sini.

Tiada ulasan: