Sabtu, 26 Jun 2010

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Buat Laporan Polis Dan SPRM Seluruh Negara

Oleh Sidiqin Omar


SHAH ALAM - Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman memaklumkan bahawa pihaknya bersama-sama dengan warga Felda dan pimpinan Pakatan Rakyat akan membuat laporan kepada pihak Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menuntut siasatan terperinci terhadap penyelewengan yang berlaku di dalam pengurusan Felda.

Dalam laporan tersebut turut menyatakan persoalan berdasarkan fakta dan aduan mengenai perkara-perkara berkaitan Felda seperti tabung tanaman semula, jumlah aset semasa, hartanah, jumlah tunai, keuntungan pelaburan, status anak syarikat dan rancangan masa hadapan bagi peneroka Felda.

"Ini adalah kerana jawapan di Parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang mengakui sendiri mengenai kedudukan tunai Felda yang merosot daripada RM 4.08 bilion pada tahun 2004 kepada RM 1.35 bilion pada tahun 2009. Kemerosotan RM 2.73 bilion dalam tempoh lima tahun adalah sangat mengejutkan," tegas Mazlan.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh Suara Keadilan selepas membuat laporan di Balai Polis Kota Tinggi, Johor semalam. Setakat ini, 14 laporan telah dibuat dan beliau menjangkakan peningkatan kepada 300 laporan sehingga bulan hadapan. Ini berikutan laporan yang bakal dibuat oleh warga Felda di semua negeri di Malaysia.

Terdahulu sebelum itu, pada 23 Jun yang lalu, beliau bersama-sama warga Felda, aktivis ANAK dan pimpinan Pakatan Rakyat telah membuat laporan berkenaan perkara yang sama di Balai Polis Temerloh, Pahang.

Ketika ditanya mengenai langkah Felda yang mengambil tindakan menyaman akhbar Suara Keadilan dan pimpinan Pakatan Rakyat, Mazlan berkata laporan media tersebut bukanlah fitnah seperti yang dikatakan, tetapi merupakan sebuah pendedahan yang sebelumnya pernah dibangkitkan oleh bekas Menteri dan Timbalan Menteri, iaitu Datuk Zaid Ibrahim dan Datuk Dr Tan Kee Kwong.

Zaid merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan kini merupakan Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, manakala Kee Kwong adalah bekas Timbalan Menteri Tanah dan Koperasi dan memegang jawatan Pengerusi Biro Antarabangsa KEADILAN.

"Selain Petronas, Felda merupakan salah sebuah entiti yang mempunyai banyak aset dan sering dijadikan sebagai 'lubuk duit' oleh pemimpin negara. Ini merupakan penyelewengan yang dilakukan tanpa berselindung lagi. Mereka bahkan menggunakan kemudahan yang terdapat di Felda untuk kepentingan politik mereka," ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai cabaran debat mengenai isu Felda yang telah dihantar oleh ANAK kepada pemimpin Umno Tenggara, Mazlan menjelaskan bahawa sehingga kini, pihaknya masih belum menerima sebarang respon.

"Kita pernah jemput mereka untuk berdebat secara intelektual, tetapi nampaknya mereka tidak mahu memberikan kerjasama. Kita terbuka kepada mana-mana pihak untuk berunding, kerana yang penting adalah, perkara yang dibahas dan dibincangkan akan membawa kebaikan kepada warga Felda."

"Kini kita sedang membuat persiapan untuk menghadapi sebarang cabaran. Selama ini, perkara yang disuarakan oleh kita seolah-olah tidak didengar. Jadi sekarang adalah masa yang sesuai untuk kita bergerak, memberikan penerangan, dan menuntut kembali hak," jelasnya.

Tiada ulasan: