Khamis, 17 Jun 2010

Permohonan empat pelajar UKM didengar 9 Julai


KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menerima permohonan injunksi empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa bersimpati dengan parti politik semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Mahkamah juga menetapkan 9 Julai ini sebagai tarikh perbicaraan inter parte.

Perintah itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas, Datuk Aziah Ali selepas perbincangan dalam kamar antara peguam UKM dan pelajar-pelajar tersebut.

Empat pelajar yang berkenaan ialah Ismail Aminuddin, Hilman Idham, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 15(5)(A) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 kerana menyatakan sokongan atau bersimpati dengan parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Pelajar-pelajar mencabar Seksyen 15(5)(A) kerana mendapati ia bertentangan dengan Artikel 10 Perlembangaan Persekutuan.

“Melalui injunksi ini kami mahu tahu sama ada seksyen tersebut bertentangan ataupun tidak dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan,” kata Hilman kepada The Malaysian Insider sebelum ini.

Mereka berempat ditahan oleh pihak polis di Pekan Rasa dan Ampang Pecah pada 22 April lalu.

Tiada ulasan: