Sabtu, 26 Jun 2010

Penantian 10 Tahun Berakhir, Penduduk Kampung Sungai Yu Dapat Geran Hak Milik Tanah

TV SELANGOR

44 penduduk Kampung Sungai Yu, Kuala Selangor akhirnya menerima geran tanah yang ditunggu selama 10 tahun.

Sepanjang 10 tahun lalu penduduk berulang-alik ke Pejabat Daerah dengan kehampaan, namun penantian itu berakhir setelah kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bekerja keras menunaikan hak mereka.

Hadir menyampaikan sendiri geran itu kepada penduduk Kampung Yu, Khalid dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri Selangor memandang serius masalah hak milik tanah.

Bercakap kepada penduduk yang hadir, Khalid berkata pemberian geran kepada mereka yang layak merupakan agenda utama beliau sejak diberi kepercayaan menerajui kerajaan negeri.

" Projek yang paling penting bagi saya ialah projek pemilikan tanah oleh rakyat. Saya dapati cara pemberian pemilikan tanah sebelum saya menerajui kerajaan negeri adalah dalam bentuk sikit. satu dan dua dan kemudian kawasan lain" ujar Khalid.

Selain dari bersikap telus dalam menguruskan pemberian hak milik tanah, kerajaan negeri turut menjalin kerjasama erat dengan Pejabat Daerah, Pejabat Tanah dan juga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi mengenalpasti permasalahan tanah di seluruh Selangor.

" Orang kampung tidak payah turun ke Pejabat Daerah untuk mengetahui mereka memiliki tanah atau tidak, saya hendak bawa Pejabat Daerah turun ke kampung" tambahnya lagi.

Dalam pada itu, penerima geran yang ditemui selepas majlis berkenaan masing-masing melahirkan kesyukuran.

Menurut Ramlah Ramlan, beliau begitu gembira dengan pemberian satu ekar tanah itu.

" Saya merasa gembiralah sebab sudah berpuluh tahun baru hari ini dapat geran".

Mengulangi kegembiraan yang sama ialah haji Talib Marjuki.

" Alhamdulillah, pertama sekali saya bersyukur kepada Allah S.W.T kerana permintaan selama ini telah dikabulkan oleh Allah S.W.T. Terima kasihlah".

Sementara itu menurut Pengerusi JKKK Kampung Sungai Yu, Muhad Solihi Misran, menyedari bahawa penduduk di kampungnya layak untuk mendapatkan geran di atas tanah yang diusahakan sejak sekian lama, beliau tekad untuk membantu.

" Perbincangan awal telah dibuat setahun yang lepas. Memikirkan ini hak rakyat, maka saya berusahalah sedaya -upaya dan perkara berkenaan berjalan lancar dan akhirnya telah disempurnakan oleh Tan Sri untuk menyampaikannya".

Tiada ulasan: