Jumaat, 25 Jun 2010

Pemuda PAS tentang keras kaitkan Presiden dengan pengganas

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) bukan sahaja menafikan, malah menentang keras cubaan mengaitkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan pengganas seperti yang diperkatakan pada waktu ini.

Ketuanya, Nasruddin Hassan (gambar) berkata, DPPP juga mencabar pihak-pihak tertentu yang telah melemparkan tuduhan atau tohmahan tersebut supaya bertanggungjawab dan tampil mengemukakan bukti kukuh kepada rakyat secara terbuka.

"Dewan Pemuda PAS Pusat bukan sahaja menafikan Tuan Guru Presiden PAS sebagai pengganas tapi juga menentang keras niat dan tindakan jahat mereka yang menyenaraikan Tuan Guru Abdul Hadi sebagai pengganas," tegasnya.

DPPP semalam, ujarnya mengadakan mesyuarat khas berhubung dakwaan terbaru itu yang dilihat wujud perancangan jahat pihak tertentu bukan sahaja untuk menjatuhkan reputasi Presiden PAS, malah melumpuhkan gerakan Islam di negara ini.

Menurut Nasruddin, jika pihak yang membuat tuduhan gagal mengemukakan bukti, mereka digesa menarik balik dakwaan tersebut dan perlu memohon maaf secara terbuka kepada Tuan Guru Abdul Hadi serta PAS amnya.

"Jika mereka gagal, mereka terpaksa berdepan pula dengan tuduhan dari rakyat bahawa merekalah pengganas sebenar yang suka mencetus pertelingkahan dan melemparkan fitnah tanpa asas," katanya lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan terbaru berhubung satu majlis taklimat khusus dan tertutup oleh pihak tertentu mengaitkan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Wahabi dan termasuk dalam senarai pengganas.

Antara yang turut disenaraikan ialah mantan Mufti dan Menteri Besar Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin dan Datuk Seri Shadidan Kasim serta Mufti Perlis, Dr Juanda.

Tiada ulasan: